Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak
Pengerusi
Khazanah Nasional Berhad

Malaysia terus berkembang kukuh dalam bidang ekonomi, meningkatkan kesejahteraan rakyat

Alhamdulillah, kita, sebagai warga negara Malaysia, sesungguhnya perlu banyak bersyukur. Kita menikmati pencapaian yang baik, sama ada di dalam negara mahupun di peringkat antarabangsa. Malah, Malaysia bergerak lebih jauh ke hadapan sebagai sebuah negara, dipacu oleh peningkatan ekonomi yang mampan dan berpendapatan tinggi inklusif serta peningkatan daya saing global.

Ekonomi kita kekal berada di landasan pertumbuhan yang menyaksikan pertumbuhan KDNK lebih kukuh pada kadar 5.9% pada 2017, didukung oleh permintaan sektor swasta dengan sokongan dari sektor luaran. Pertumbuhan dijangka terus menggalakkan pada 2018, dengan permintaan domestik kekal sebagai pemacu utama. Jangkaan pengembangan ekonomi global yang lebih pesat, akan terus memberi manfaat kepada eksport Malaysia, dengan limpahan kesan positif terhadap aktiviti ekonomi domestik.

Sebagai negara perdagangan, kita telah mencatatkan tahap pencapaian yang lebih tinggi. Pertumbuhan perdagangan Malaysia pada 2017 adalah tertinggi dalam tempoh 13
tahun, dengan melonjak 19.4% kepada RM1.774 trilion, berbanding RM1.486 trilion pada tahun sebelumnya. Eksport meningkat ketara sebanyak 18.9%, pertumbuhan paling kukuh sejak 2005, sekali gus mencapai tahap tertinggi baharu sebanyak RM935.39 bilion. Ia hasil daripada sumbangan kukuh beberapa sektor ekonomi.

Pasaran modal kita, kaedah utama untuk membiayai pertumbuhan perniagaan, terus mencatatkan pertumbuhan kukuh. Indeks penanda aras FBM KLCI meningkat sebanyak 105% sejak 2009 sementara permodalan pasaran melonjak sebanyak 187%. Pada 2017, aliran masuk dana bersih asing mencecah angka positif RM10.8 bilion, tertinggi sejak 2012. Terbitan kasar bon korporat mencatatkan rekod tertinggi sebanyak RM124.9 bilion pada 2017 manakala Pasaran Modal Islam Malaysia secara keseluruhannya – yang mana pasaran sukuk kita adalah yang terbesar di dunia – meningkat 11.9% untuk mencapai saiz RM1.9 trilion berbanding RM1.7 trilion setahun lalu. Di samping itu, ringgit Malaysia adalah salah satu daripada mata wang yang mencatatkan prestasi terbaik di Asia, meningkat 10.4% berbanding USD pada 2017. Semua petunjuk ini mencerminkan sentimen positif dalam kalangan pelabur dan pengiktirafan terhadap asas ekonomi dan kewangan Malaysia yang cemerlang.

Kekuatan ekonomi modal negara menyumbang kepada pengukuhan ekonomi rakyat, termasuk peningkatan taraf hidup, peningkatan kemahiran dan pemindahan pengetahuan dalam kalangan remaja serta populasi berpendidikan tinggi yang semakin meningkat, serta produktiviti yang lebih tinggi. Kadar inflasi Malaysia terus kekal rendah, pada purata 3.7% pada 2017, manakala kepelbagaian ekonomi Malaysia telah mencipta lebih banyak peluang pekerjaan. Antara 2009 hingga 2016, sejumlah 2.26 juta peluang pekerjaan telah diwujudkan, yang mana lebih daripada satu juta pekerjaan adalah berpendapatan tinggi. Ia juga mewakili 69% daripada 3.3 juta pekerjaan yang disasarkan untuk diwujudkan menjelang 2020.

Kemajuan yang dicapai oleh Malaysia turut mendapat pengiktirafan antarabangsa. Indeks Daya Saing Global Forum Ekonomi Dunia bagi 2017-2018 meletakkan Malaysia di tangga ketiga bagi Kekukuhan Perlindungan Pelabur, kelima untuk Bayar dan Produktiviti, kelima untuk Beban Peraturan Kerajaan yang rendah, dan ke-14 untuk Kualiti Sistem Pendidikan. Sementara itu, Bank Dunia menjangkakan Malaysia mencapai status negara berpendapatan tinggi dalam beberapa tahun akan datang, sambil menambah ekonomi Malaysia mencapai kemajuan berterusan daripada tahap pengukuhan. Perlu juga ditegaskan bahawa kisah pertumbuhan Malaysia tidak dicapai dalam tempoh waktu yang singkat. Sejak dahulu lagi, kita telah membuat keputusan yang sukar dan betul untuk ekonomi Malaysia dan rakyat. Sebagai contoh, pengurangan secara beransur-ansur dalam subsidi petrol telah menyelamatkan negara berjuta ringgit, sementara pengenalan GST (Cukai Barang & Perkhidmatan) telah menghasilkan pendapatan cukai yang lebih tinggi untuk negara. Manfaat ekonomi modal selalunya mesti mempunyai kesan limpahan atas ekonomi rakyat, dan ini dapat dilihat apabila pendapatan per kapita rakyat Malaysia meningkat kepada RM40,713 pada 2017 daripada RM27,819 pada 2010 dan dijangka terus meningkat kepada RM42,777 pada 2018.

Khazanah, sebagai dana pelaburan strategik bagi Kerajaan Malaysia, terus memainkan peranannya dalam menyumbang ke arah kemajuan negara sebagai ekonomi mampan dan negara yang kompetitif di peringkat global. Operasi dan pelaburan Khazanah terletak di pasaran utama di seluruh dunia, dan saya gembira dapat melihat banyak syarikat milik Khazanah telah menjadi kompetitif di peringkat serantau, bahkan muncul sebagai pemain global. Syarikat-syarikat ini termasuk IHH Healthcare Berhad, penyedia penjagaan kesihatan swasta kedua terbesar di dunia; CIMB Group, sebuah bank terkemuka di rantau ASEAN dan salah satu bank pelaburan terbesar di Asia; dan Axiata Group Berhad, yang merupakan salah satu peneraju kumpulan telekomunikasi di Asia dengan 350 juta pelanggan di 11 buah negara.

Pada masa sama, Khazanah terlibat secara aktif dalam pelbagai inisiatif Tanggungjawab Korporat (CR) melalui yayasannya, Yayasan Hasanah, serta beberapa entiti berkaitan – Yayasan Khazanah, Khazanah Research Institute dan Think City.

Khazanah dan Yayasan Hasanah secara kolektif membelanjakan RM1.2 bilion untuk inisiatif CR sejak 2006, khususnya dalam pendidikan, pembangunan masyarakat dan alam sekitar. Khazanah menyokong agenda pembangunan nasional negara dengan memainkan peranan aktif dalam pembangunan modal insan, termasuk anugerah biasiswa melalui Yayasan Khazanah, latihan untuk graduan melalui sumbangannya dalam Skim Latihan 1Malaysia (SL1M), dan peningkatan kualiti pendidikan melalui Program Sekolah Amanah.
Khazanah Research Institute menyediakan input dasar penting melalui penyelidikannya berkaitan pelbagai isu utama negara. Pembabitan Khazanah di ruang awam, terutamanya projek Taman Tugu, serta penjanaan semula dan pemuliharaan warisan bandar melalui Think City, adalah inisiatif penting untuk meningkatkan kebolehunian bandar raya dan kawasan komuniti kita, sementara memelihara dan membangunkan warisan, budaya dan seni bina kesemua kawasan tersebut.

Sebagai Pengerusi Khazanah, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Lembaga Pengarah, pengurusan kanan dan kakitangan Khazanah atas usaha dan sumbangan mereka ke arah memastikan kemajuan dan pembangunan berterusan untuk Malaysia. Seperti lazimnya, kita tetap komited dalam membina nilai sejati untuk Malaysia dan rakyatnya, insya-Allah.

Terima kasih.

Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak

Pengerusi
Khazanah Nasional Berhad

KHAZANAH NASIONAL CONSULTING (BEIJING) COMPANY LIMITED

Khazanah membuka pejabat di Beijing pada 2008 dalam usaha untuk bertapak di China dan mengambil bahagian dalam pertumbuhan negara tersebut. Pejabat di Beijing adalah pejabat Khazanah yang pertama dibuka di luar negara. Ia juga menyediakan platform untuk membina hubungan ekonomi dua hala yang lebih erat antara Malaysia dan China.

Rangkuman Institusi

Khazanah terus berkembang sebagai sebuah institusi yang disokong oleh rangka kerja tadbir urus dan kebertanggungjawaban yang kukuh. Lembaga Pengarah kami, yang dipimpin oleh Pengerusi, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, membimbing pihak pengurusan dalam melaksanakan mandat kami.

To add The Khazanah Report 2017 onto your home screen: tap and then Add to Home Screen