TAN SRI DATUK WIRA AZMAN MOKHTAR
Pengarah Urusan
Khazanah Nasional Berhad

Selamat membaca Laporan Khazanah 2017 (TKR 2017), edisi tahunan keenam Laporan Khazanah sejak edisi pertamanya diterbitkan pada 2013. Tema TKR 2017 ialah Membina Nilai Sejati Ke Arah Malaysia Yang Berdaya Saing di Peringkat Global, yang menggabungkan dua elemen utama merangkumi apa yang kami lakukan sebagai dana pelaburan strategik Kerajaan Malaysia. Untuk memperincikan lagi, Khazanah berusaha untuk memberikan pulangan kewangan, strategik dan kemasyarakatan (yang kami takrifkan sebagai nilai sejati) untuk negara Malaysia dan rakyatnya, dan dengan berbuat demikian, kami memainkan peranan kami dalam mempertingkatkan daya saing Malaysia secara keseluruhannya. Ini adalah visi dan misi kami, yang anda boleh baca dalam bahagian yang menerangkan tentang mandat Khazanah dengan lebih terperinci.

Tema tahun ini dapat dilihat pada reka bentuk dan elemen yang menghiasi laporan ini, yang kami harap berguna dan informatif bagi anda. Kami juga telah memperkenalkan beberapa ciri baharu dalam TKR2017 untuk memberi lebih akses kepada maklumat dan kandungan laporan ini. Antara ciri-ciri ini termasuk klip video selama 3 minit mengenai siapa kami, apa yang kami lakukan, serta prestasi dan pencapaian kami. Anda boleh menonton klip video TKR2017 hanya dengan mengimbasan kod QR dengan peranti mudah alih anda.

Penciptaan nilai jangka panjang

Alhamdulillah, Khazanah berjaya menunjukkan prestasi kewangan kukuh pada 2017. Kedudukan Nilai Bersih Dilaraskan (NWA) portfolio kami melonjak ke tahap tertinggi RM115.6 bilion setakat 31 Disember 2017, iaitu peningkatan sebanyak 13.2% daripada RM 102.1 bilion yang dicatat pada tahun sebelumnya. Ini adalah pertumbuhan jangka panjang sebanyak 9.6% setahun (CAGR) dalam nilai portfolio sejak 2004, bersandarkan nilai perlindungan aset sebanyak 3.1 kali ganda berbanding jumlah liabiliti. Di samping itu, keuntungan sebelum cukai (PBT) meningkat sebanyak 81.3% kepada RM2.9 bilion, menjadikan PBT terkumpul sejak 2004 berjumlah RM28.0 bilion. Khazanah juga mengisytiharkan dividen sebanyak RM1.0 bilion untuk 2017, dengan jumlah keseluruhan dividen yang diisytiharkan sejak 2004 sebanyak RM10.11 bilion.

Penciptaan nilai jangka panjang adalah penting dalam usaha kami untuk membantu meningkatkan daya saing Malaysia pada peringkat global. Dalam mencari peluang di seluruh dunia, kami telah memperluaskan jejak kami di luar negara, bermula daripada pejabat serantau kami yang pertama di Beijing pada 2008 dan seterusnya keempat lagi pejabat yang telah kami buka selepas itu, dengan yang terbaru di London pada 2016. Di samping itu, kami terus memacu keserantauan dan pengantarabangsaan syarikat pelaburan Khazanah, yang sebahagiannya telah menjadi peneraju dalam industri masing-masing. Antara syarikat-syarikat ini ialah Kumpulan edotco Sdn Bhd, yang mengendalikan 26,000 menara telekomunikasi dalam enam buah negara; Kumpulan Axiata Berhad, yang memiliki 350 juta pelanggan di 11 buah negara; dan IHH Healthcare Berhad, yang merupakan salah satu kumpulan penjagaan kesihatan terbesar di dunia berdasarkan permodalan pasaran. Pada tahun lalu, IHH Healthcare menyaksikan bermulanya operasi beberapa hospital baharu di Hong Kong dan Istanbul, dan melancarkan majlis pecah tanah untuk hospital baharu di Shanghai dan Kuala Lumpur. Khazanah juga membuat pelaburan jangka panjang dengan menggunakan kesalinglengkapan serantau untuk memberi manfaat kepada Malaysia dan negaranegara di mana kami melabur. Contoh utama pelaburan strategik tersebut ialah pembangunan bersama dengan Temasek Holdings (Private) Limited dalam projek Marina One dan DUO di Singapura. Kedua-dua projek tersebut dilancarkan pada awal 2018 dengan jumlah nilai pembangunan kasar sebanyak SGD11 bilion. Seperti yang anda dapat lihat di halaman-halaman seterusnya dalam TKR tahun ini serta laporan yang kami keluarkan pada tahun-tahun sebelum ini, Khazanah berusaha untuk mencipta dan menyampaikan nilai kewangan, strategik dan kemasyarakatan merentasi sempadan pelaburan dan operasi kami, samada di Malaysia mahupun di luar negara.

Melalui kehadiran kami di luar negara, kami telah berjaya mengantarabangsakan portfolio pelaburan kami secara berperingkat, dengan pendedahan luar negara kami kini berada pada paras 44.5% daripada keseluruhan Nilai Aset Boleh Direalisasi (RAV). Ini termasuk pelaburan yang kami lakukan pada 2017, seperti dalam pendorong e-dagang Koubei di China, pasar kereta terpakai terkemuka Kumpulan Auto1 di Eropah dan penyedia perkhidmatan penyambungan Internet-of-Things Sigfox yang berpangkalan di Perancis. Kami juga menuai nilai yang dicipta daripada pelaburan di luar negara pada masa lalu, termasuk pelupusan pelaburan daripada syarikat pengurusan aset China Huarong, BDO Unibank di Filipina dan penyedia perkhidmatan awan VeloCloud.

Di dalam negara, syarikat pelaburan Khazanah terbabit dalam beberapa projek utama pada tahun lepas, termasuk pengoperasian penjana kuasa Manjung 5 oleh Tenaga Nasional Berhad; pelancaran Pusat Data Iskandar Puteri oleh Telekom Malaysia Berhad (TM) di Taman Teknologi Nusajaya, Johor; usaha sama antara Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan Cainiao Smart Logistics Network untuk membangunkan pusat e-dagang di KLIA Aeropolis; dan kerjasama antara Touch n’ Go, anak syarikat Kumpulan CIMB Berhad (CIMB), dengan Alipay untuk penyelesaian dompet mudah alih. Sementara itu, Malaysia Airlines Berhad (Malaysia Airlines) terus menunjukkan kemajuan dalam tahun keempat pelan penstrukturan semulanya.

Tan Sri Azman bersama dengan Timbalan Pengarah Urusan Ahmad Zulqarnain Onn (dua dari kiri) dan Tengku Dato’ Sri Azmil Zahruddin Raja Abdul Aziz (dua dari kanan); Jiv Sammanthan (paling kanan), Pengarah Eksekutif dan Ketua di Pejabat Pengarah Urusan dan Faridah Bakar Ali (paling kiri), Pengarah, Kewangan dan Ketua Pegawai Kewangan, di taklimat media Ulasan Tahunan Khazanah 2018

Secara keseluruhan, Khazanah dan syarikat pelaburan Khazanah terus menyokong pertumbuhan domestik, mempertingkatkan pengantarabangsaan dan memanfaatkan peluang pertumbuhan baharu, seperti inovasi dan teknologi. Sebagai dana pelaburan strategik Malaysia, kami terus memainkan peranan sebagai pemegang saham aktif dalam syarikat-syarikat kami. Berikutan kejayaan Program Transformasi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLCT), kami terus melangkah ke hadapan dengan memulakan Transformasi 2.0 (T2.0) untuk memastikan syarikat-syarikat pelaburan Khazanah mendahului pesaing serantau mereka dari segi prestasi. T2.0 turut berfungsi untuk mentransformasikan syarikatsyarikat tersebut bagi menghadapi cabaran pada masa hadapan, termasuk daya mengganggu yang wujud seiring dengan globalisasi dan perubahan teknologi yang pantas atau dikenali sebagai Revolusi Industri Ke-4.

Sejajar dengan T2.0, kami telah memperkenalkan Program TIDE (Trend, Inovasi, Gangguan dan Keusahawanan) pada tahun lalu untuk terus memacu prestasi syarikat pelaburan Khazanah. Program yang dijangka mengambil masa beberapa tahun ini adalah pendekatan kerjasama bermatlamatkan mencipta
kesedaran dan menggalakkan penerimagunaan inovasi, gangguan dan keusahawanan dalam budaya syarikat. Selain daripada Program TIDE untuk syarikat pelaburan Khazanah, kami juga telah melancarkan Khazanah Nasional Entrepreneurship Outreach (KNEO) untuk membantu mencungkil bakat keusahawanan dalam kalangan warga Malaysia di seluruh negara. Lebih 700 permohonan telah diterima untuk inisiatif tersebut dan kami merancang untuk menganjurkannya pada setiap tahun. Maklumat lanjut mengenai KNEO boleh didapati di www.khazanahneo.com.my. Kami juga terus memacu pelaburan yang bertanggungjawab, terutamanya melalui Projek Chronos, yang bertujuan untuk menilai impak pelaburan kami terhadap masyarakat di samping nilainya dari segi kewangan dan ekonomi. Anda akan mengetahui tentang inisiatif ini dengan lebih lanjut apabila kami melancarkannya dalam masa terdekat.

Berkongsi pulangan kepada masyarakat

Sebagaimana yang anda sedia maklum, aktiviti pengagihan nilai Khazanah merupakan komponen utama dalam mandat keseluruhan kami, terutamanya melalui inisiatif Tanggungjawab Korporat (CR) yang dilaksanakan oleh Yayasan Hasanah dan Khazanah sendiri. Pada 2017, Khazanah dan Yayasan Hasanah membelanjakan sebanyak RM233.5 juta untuk inisiatif CR, menjadikan jumlah perbelanjaannya RM1.2 bilion sejak 2006. Inisiatif ini termasuk 110 biasiswa yang dianugerahkan oleh Yayasan Khazanah, Program Khazanah-Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) yang menyaksikan 4,220 orang siswazah diberikan latihan pada 2017, dan peningkatan penyertaan dalam Program Sekolah Amanah Yayasan AMIR ke-64 sekolah lagi. Kami juga telah menerbitkan tranch kedua Sukuk Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab bernilai RM100 juta berjangka tujuh tahun, dengan RM5 juta dikhususkan bagi bahagian runcit.

Dana yang dijana daripada Sukuk ini digunakan untuk membiayai Program Sekolah Amanah. Inisiatif keterangkuman sosial lain yang dijalankan pada 2017 termasuk komitmen sebanyak RM24.0 juta untuk melaksanakan dan menyampaikan inisiatif pembangunan sosial bagi rumah mampu milik, pembangunan keusahawanan, pembinaan kapasiti dan peningkatan kebolehdiaman di Iskandar Malaysia, Johor.

Tahun 2017 turut menyaksikan pengumuman pembentukan Amanah Warisan Negara, satu amanah pengunguman negara yang bakal menempatkan projek Taman Tugu bawahnya. Di samping itu, Kerajaan memperuntukkan tambahan 25 ekar tanah yang terletak bersebelahan untuk Projek Taman Tugu, menjadikan jumlah keluasan tanahnya kini 91 ekar. Anda boleh mengikuti kemajuan projek ini di www.tamantuguproject.com.my.

(Dari kiri) Pengarah Urusan Khazanah Research Institute, Dato’ Charon Mokhzani; Tan Sri Azman; Datuk Seri Johari Abdul Ghani; dan Timbalan Pengarah Urusan Khazanah,Tengku Dato ‘Sri Azmil Zaharuddin di pelancaran program Khazanah Nasional Entrepreneurship Outreach (KNEO) sempena KMF2017

Tan Sri Azman dan pelajar-pelajar dari SK Tabuan di acara Hasanah Bersama Rakyat di Santubong, Sarawak. SK Tabuan ialah sebuah sekolah di bawah Program Sekolah Amanah

Pelawat membuat ikrar untuk melakukan amalan kebajikan pada acara Hasanah Bersama Rakyat di Iskandar Malaysia

Kami juga mengadakan Hari Hasanah buat julung kalinya pada 3 September 2017 untuk menggalakkan rakyat Malaysia menyumbang masa dan usaha untuk melakukan amalan kebajikan, sebagai sebahagian daripada kempen Khazanah “Negaraku, Negara Kita” bagi meraikan 60 tahun kemerdekaan Malaysia. Lebih 30,000 orang menerima impak melalui lebih 300 inisiatif Hari Hasanah, termasuk inisiatif yang dijalankan oleh kakitangan kami, yang semuanya mengambil bahagian secara individu atau berkumpulan. Tahun 2017 juga menyaksikan pelancaran Hasanah Bersama Rakyat (HBR), yang merupakan program jangkauan Hari Hasanah untuk komuniti B40 di wilayah terpilih. HBR juga telah diadakan di Iskandar Puteri di Johor, Santubong di Sarawak, Jeli di Kelantan dan Jerlun di Kedah.

Khazanah Research Institute (KRI) terus menyokong pembentukan dasar Kerajaan melalui penyelidikan dalam isu-isu mendesak negara. Pada 2017, KRI menerbitkan beberapa terbitan termasuk ‘Why Trade Matters: Trade Issues in Non-Communicable Diseases Essentials Medicines and Education’, yang merupakan terbitan ketiga dalam siri laporan tentang perdagangan antarabangsa dan dasar perdagangan. KRI juga menerbitkan “Building Social Capital: The George Town Experiment”, yang membuat sorotan mengenai manfaat dana pembangunan komuniti bagi mengurangkan tekanan akibat ketersingkiran sosial melalui pembangunan semula bandar secara atas ke bawah.

Khazanah terus meningkatkan usaha dalam mengukuhkan integriti institusi, tadbir urus korporat dan kemampanan dengan menerima guna dan menyokong amalan dan piawaian terbaik, baik di dalam negeri mahupun di peringkat antarabangsa. Kami adalah penandatangan bagi Kod Pelabur Institusi Malaysia yang diterajui oleh Majlis Pelabur Institusi Malaysia (IIC), yang mana kami juga adalah ahlinya; Ikrar Integriti Korporat oleh Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM); dan Prinsip Pelaburan Bertanggungjawab yang disokong oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Kami juga adalah ahli dalam Forum Antarabangsa Dana Kekayaan Negara (IFSWF), dan FCLTGlobal (Memfokuskan Modal ke Jangka Panjang), satu organisasi bukan untuk keuntungan yang menggalakkan fokus jangka panjang dalam membuat keputusan perniagaan dan pelaburan. Di samping itu, kami menjadi ahli beberapa badan Forum Ekonomi Dunia (WEF), termasuk Lembaga Pengawasan Sistem untuk Kemajuan Ekonomi Masa Hadapan
dan Kumpulan Pemandu Serantau ASEAN. Khazanah juga mendapat pengiktirafan daripada Bretton Woods II dalam Senarai Peneraju 25 Peruntukan Aset Paling Bertanggungjawab pada 2017. Bretton Woods II ialah inisiatif oleh beberapa institusi pembangunan terkemuka dunia untuk menggalakkan impak sosial, kemampanan, dan tadbir urus yang baik dalam pelaburan.

Integriti institusi dan tadbir urus korporat adalah antara tonggak utama dalam usaha berterusan penginstitusian kami, termasuk juga pengurusan penggantian. Dalam mesyuarat pada bulan Disember tahun lalu, Lembaga Pengarah Khazanah yang dipimpin oleh Pengerusinya, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak meluluskan rancangan penggantian kami, yang menyaksikan pelantikan dua orang Timbalan Pengarah Urusan, Tengku Dato’ Sri Azmil Zahruddin Raja Abdul Aziz dan Ahmad Zulqarnain Onn, yang bermula pada 1 Januari 2018. Bagi pihak pengurusan dan kakitangan, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Tan Sri Dato’ Seri Utama Nor Mohamed Yakcop atas kepimpinan, bimbingan dan sumbangan beliau sebagai ahli Lembaga Pengarah dan Timbalan Pengerusi Khazanah sepanjang 15 tahun beliau bersama kami hingga September 2017. Tan Sri Nor, melalui peranan beliau di Khazanah dan jawatan di kementerian sebelum ini, memainkan peranan penting dalam menentukan kejayaan pelbagai inisiatif, termasuk rombakan dan transformasi Khazanah, Program Transformasi GLC berjangka 10 Tahun, pembangunan pelbagai koridor ekonomi termasuk Iskandar Malaysia, serta penubuhan Yayasan Hasanah dan Khazanah Research Institute. Saya juga ingin merakamkan ucapan tahniah dan mengucapkan selamat datang kepada Puan Yeo Kar Peng susulan pelantikan beliau sebagai ahli Lembaga Pengarah pada bulan Disember 2017. Puan Yeo membawa bersama beliau pengalaman mendalam dalam sektor kewangan dan pasaran modal yang saya yakini akan memberi banyak manfaat kepada Khazanah.

Secara keseluruhan, Khazanah telah bekerja keras sepanjang tahun lalu dalam usaha kami untuk mendukung dan memenuhi pelbagai peranan dan tanggungjawab yang diamanahkan kepada kami. Ini hanya dapat dilaksanakan melalui usaha gigih dan sumbangan oleh banyak pihak, termasuk Lembaga Pengarah Khazanah, pengurusan dan kakitangan, rakan dan rakan kerjasama kami, serta semua pihak berkepentingan di Malaysia dan luar negara. Saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat Sudah pasti, masih banyak yang perlu dilakukan, dan saya berharap untuk meneruskan usaha kolektif kami dalam membina nilai sejati bagi Malaysia dan rakyatnya.

Tan Sri Datuk Wira Azman Mokhtar
Pengarah Urusan
Khazanah Nasional Berhad

1 Mei 2018

KHAZANAH NASIONAL CONSULTING (BEIJING) COMPANY LIMITED

Khazanah membuka pejabat di Beijing pada 2008 dalam usaha untuk bertapak di China dan mengambil bahagian dalam pertumbuhan negara tersebut. Pejabat di Beijing adalah pejabat Khazanah yang pertama dibuka di luar negara. Ia juga menyediakan platform untuk membina hubungan ekonomi dua hala yang lebih erat antara Malaysia dan China.

Rangkuman Institusi

Khazanah terus berkembang sebagai sebuah institusi yang disokong oleh rangka kerja tadbir urus dan kebertanggungjawaban yang kukuh. Lembaga Pengarah kami, yang dipimpin oleh Pengerusi, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, membimbing pihak pengurusan dalam melaksanakan mandat kami.

To add The Khazanah Report 2017 onto your home screen: tap and then Add to Home Screen