Kami dipandu oleh rangka kerja yang menetapkan tanggungjawab, kuasa dan struktur tadbir urus yang jelas

Kami beroperasi dalam rangka kerja mandat yang ditakrifkan dengan jelas dan dijajarkan dengan matlamat pembangunan negara, yang ditetapkan oleh pemegang saham utama kami, iaitu Kerajaan Malaysia.

Rangka Kerja Tadbir Urus dan Pengurusan Risiko (GRMF) kami berfungsi sebagai panduan untuk pengurusan risiko yang berkesan, dan untuk memupuk budaya tadbir urus korporat dan pengurusan risiko yang baik di Khazanah.

Rangka kerja ini terdiri daripada Dasar Pengurusan Risiko, Senarai Perkara untuk Lembaga Pengarah, Had Kuasa kepada Pengurusan, dan Kod Tingkah Laku serta Dasar dan Tatacara, yang membimbing kakitangan dalam tindakan dan tingkah laku mereka.

Dato’ Shamshun Baharin B. Mohd Jamil, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM bersama Tan Sri Azman di majlis penandatanganan CIP

Menyokong amalan terbaik Malaysia dan antarabangsa

Khazanah ialah penandatangan dan ahli dalam beberapa usaha yang berkaitan tadbir urus dan kebertanggungjawaban sebagai sebuah institusi termasuk:

  1. Penandatangan kepada Prinsip Pelaburan Bertanggungjawab yang disokong oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNPRI), yang mana kami berpegang kepada enam prinsip yang memberi pilihan untuk memasukkan elemen Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir urus (ESG) dalam amalan pelaburan kami.
  2. Ahli dalam Forum Antarabangsa Dana Harta Berdaulat (IFSWF), yang mana kami bekerjasama secara aktif dengan dana harta berdaulat (SWF) lain untuk mengukuhkan komuniti SWF dan menggalakkan pemahaman yang lebih mendalam tentang peranan dan tanggungjawab SWF.
  3. Ahli FCLTGlobal (Memfokuskan Modal kepada Jangka Panjang), yang mana kami menyumbang kepada usahausaha untuk membangunkan dan menggalakkan fokus jangka panjang dalam membuat keputusan perniagaan dan pelaburan.
  4. Penandatangan kepada Ikrar Integriti Korporat oleh Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) yang menggariskan komitmen utuh kami terhadap integriti dan tadbir urus yang baik.

Lembaga Pengarah mentadbir operasi kami. Ahli Lembaga Pengarah terdiri daripada wakil Kerajaan dan sektor korporat daripada pelbagai latar belakang dan kepakaran profesional. Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Kewangan, merupakan Pengerusi Lembaga Pengarah Khazanah.

Lembaga Pengarah bermesyuarat secara berkala dan bertanggungjawab bagi keseluruhan tadbir urus yang merangkumi perkara berkenaan prestasi dan kepatuhan. Piagam Lembaga Pengarah menggariskan peranan dan tanggung jawab ahli Lembaga Pengarah dalam menyelia pengurusan Khazanah.

Lembaga Pengarah dibantu oleh tiga jawatankuasa kecil yang terdiri daripada Jawatankuasa Eksekutif (EXCO), Jawatankuasa Audit dan Risiko (ARC) dan Jawatankuasa Pencalonan dan Ganjaran (NRC). EXCO yang dianggotai oleh lima orang ahli terdiri daripada empat Pengarah Bukan-Eksekutif dan seorang Pengarah Eksekutif. ARC terdiri daripada empat orang Pengarah Bebas, sementara NRC dianggotai oleh empat orang ahli yang terdiri daripada tiga Pengarah Bukan-Eksekutif dan seorang Pengarah Eksekutif. NRC baru sahaja ditubuhkan pada bulan Disember 2017 untuk membantu Lembaga Pengarah dalam pencalonan, pelantikan dan pembaharuan ahli Lembaga Pengarah dan Pengarah Urusan Khazanah, selain pelantikan barisan pengurusan yang terdiri daripada para Pengarah Eksekutif, termasuk menyemak pakej ganjaran serta lain-lain perkara berkenaan pengurusan sumber manusia.

Khazanah mendukung piawaian yang ketat berkenaan ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam rangka kerja tadbir urus kami, yang menetapkan struktur tanggungjawab, kuasa dan tadbir urus yang jelas. Parameter ini menjadi panduan operasi kami secara keseluruhannya. Sistem dan kawalan dalaman berbentuk dasar, tatacara dan garis panduan berkenaan pelbagai perkara, daripada pengurusan risiko dan kelulusan pelaburan kepada nilai korporat dan etika, mengukuhkan lagi amalan tadbir urus kami.

Kami mematuhi keperluan pendedahan awam berkanun berkenaan pelaburan, pelupusan pelaburan dan kegiatan penjanaan modal.

Disamping itu, kami membuat pendedahan sewajarnya berhubung prestasi dan operasi kami, sama ada yang diperlukan oleh undang-undang dan pihak berkuasa tertentu atau penyebaran maklumat kepada pihak berkepentingan secara sukarela, termasuk orang awam menerusi pelbagai platform dan forum.

Akaun kami diaudit oleh juruaudit luaran bebas, dan penyata kewangan yang telah diaudit diserahkan kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia. Maklumat kewangan dikongsi dengan pemegang saham kami, Menteri Kewangan (Diperbadankan), Bank Negara Malaysia dan Jabatan Statistik secara berkala.

Kami telah berkongsi maklumat penting dengan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan diaudit oleh Jabatan Audit Negara. Kami juga menyiarkan maklumat utama kepada orang ramai di laman web rasmi kami dan melalui penerbitan tahunan termasuk Laporan Khazanah.

Penglibatan pihak berkepentingan terus menjadi keutamaan kami. Pelbagai program jangkauan dianjurkan untuk pihak media, penganalisis dan pengurus dana, agensi kerajaan, ahli-ahli parlimen dan organisasi masyarakat sivil, untuk memaklumkan mereka tentang operasi, aktiviti dan prestasi kami. Ini bertujuan untuk meningkatkan lagi pemahaman mereka tentang Khazanah.

Seiring dengan usaha kami untuk terus mempertingkatkan rangka kerja tadbir urus dan kebertanggungjawaban Khazanah, kami juga menyokong dan menyumbang kepada inisiatif dan amalan terbaik yang menggalakkan tadbir urus yang baik, pengurusan risiko yang mantap, dan kemampananan jangka panjang, pada peringkat domestik dan antarabangsa.

Komitmen kepada tadbir urus organisasi yang baik
Khazanah adalah penandatangan kepada Kod Pelabur Institusi Malaysia dan ahli dalam Majlis Pelabur Institusi Malaysia (IIC). Kami menyokong sepenuhnya enam prinsip Kod tersebut dan Penyata Kepatuhan penuh kami disiarkan di laman web kami. Untuk tatapan awam, berikut adalah ringkasan prinsip Kod tersebut dan pematuhan kami terhadapnya:

  1. Pelabur institusi perlu mendedahkan dasar mengenai tanggungjawab pengawasan mereka
    GRMF kami menetapkan tanggungjawab, kuasa dan struktur tadbir urus yang jelas untuk Khazanah. Rangka kerja ini menjadi panduan untuk semua aktiviti pelaburan dan tatakelakuan perniagaan kami.
  2. Pelabur institusi perlu memantau syarikat pelaburan mereka
    Portfolio pelaburan Khazanah dipantau dan diuruskan secara aktif oleh pasukan pelaburan masing-masing, berdasarkan Kenyataan Amalan untuk Pengurusan dan Pemantauan Khazanah. Ini termasuk pembangunan Perancangan Penciptaan Nilai dan pemantauan berkaitan pencapaian prestasi terhadap sasaran.
  3. Pelabur institusi perlu membabitkan diri dengan syarikat pelaburan mengikut kesesuaian
    Kami dipandu oleh Rangka Kerja Penglibatan Lima Perkara dalam pendekatan pelaburan secara kolaboratif dengan syarikat pelaburan Khazanah. Rangka kerja ini membantu kami memantau kemajuan syarikat-syarikat tersebut di samping memperkasakan mereka untuk menjadi entiti berprestasi tinggi.
  4. Pelabur institusi perlu menerima guna dasar yang kukuh dalam menguruskan konflik kepentingan, yang perlu didedahkan kepada orang awam
    Khazanah melaksanakan dasar dan proses yang kukuh dalam pengurusan konflik, seperti digariskan dalam Buku Panduan Kod Tingkah Laku Kakitangan dan Kod Etika Perniagaan Untuk Pembekal. Kedua-dua dokumen tersebut disiarkan untuk orang awam di laman web kami.
  5. Pelabur institusi perlu merangkum tadbir urus korporat dan pertimbangan kemampanan dalam proses membuat keputusan pelaburan.
  6. Pelabur institusi perlu menyiarkan dasar pengundian yang dilaksanakan oleh Khazanah berkenaan dasar dan rangka kerja untuk Prinsip 5 dan 6.

KHAZANAH NASIONAL CONSULTING (BEIJING) COMPANY LIMITED

Khazanah membuka pejabat di Beijing pada 2008 dalam usaha untuk bertapak di China dan mengambil bahagian dalam pertumbuhan negara tersebut. Pejabat di Beijing adalah pejabat Khazanah yang pertama dibuka di luar negara. Ia juga menyediakan platform untuk membina hubungan ekonomi dua hala yang lebih erat antara Malaysia dan China.

Rangkuman Institusi

Khazanah terus berkembang sebagai sebuah institusi yang disokong oleh rangka kerja tadbir urus dan kebertanggungjawaban yang kukuh. Lembaga Pengarah kami, yang dipimpin oleh Pengerusi, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, membimbing pihak pengurusan dalam melaksanakan mandat kami.

To add The Khazanah Report 2017 onto your home screen: tap and then Add to Home Screen