Sebagai dana pelaburan strategik Kerajaan, Khazanah pada dasarnya adalah sebuah badan pelaburan yang bertujuan untuk mewujudkan nilai kewangan dalam jangka panjang.

Shahira Ahmed Bazari

Pemegang Amanah dan
Pengarah Urusan,Yayasan Hasanah

Mohd Raslan Md Sharif

Pengarah, Pejabat Pengarah Urusan

Mandat kami melangkaui usaha dan sasaran komersial semata-mata. Kami diberi kepercayaan secara kolektif untuk memberi pulangan kewangan, strategik dan sosial kepada Malaysia serta rakyatnya. Dalam hubungan ini, prestasi kewangan mampan adalah komponen utama yang dapat membantu memenuhi peranan dan tanggungjawab kami secara keseluruhan, termasuk kerja yang kami lakukan dalam lingkungan masyarakat. Kami sedar kami perlu terus melakukan kebaikan agar dapat berada dalam kedudukan yang lebih baik. Pendekatan ini diperincikan dalam kajian kes Laporan Khazanah 2014, ‘Membina Institusi Terangkum’.

Inisiatif Tanggungjawab Korporat (CR) Khazanah membentuk komponen penting dalam usaha kami untuk memberi pulangan kepada masyarakat yang menepati keperluan pembangunan negara. Pada 2013, kami telah menubuhkan Yayasan Hasanah (Hasanah), yang menjadi asas dalam menerajui usaha CR. Kami menyumbangkan sebanyak RM3 bilion kepada Hasanah, daripada hasil pulangan yang dijana melalui aktiviti pelaburan. Dana sumbangan ini dilindungi dan dilaburkan untuk memberi pulangan minimum sebanyak 5% setiap tahun, membolehkan yayasan memperoleh sumber dana lestari bagi inisiatif yang dijalankannya.

Bilangan inisiatif mengikut lokasi

Visi Hasanah menjadi peneraju yang menggalakkan kemampanan Malaysia melalui penyelesaian yang memperkasakan masyarakat, menggalakkan keterangkuman sosial dan menambah baik persekitaran setempat. Sejak empat tahun penubuhannya, yayasan ini telah mendukung pelbagai inisiatif melalui rangkaian rakan kongsi masyarakat madani dengan memberi tumpuan kepada beberapa bidang utama, iaitu pendidikan; pembangunan komuniti; persekitaran; seni, warisan dan budaya; ilmu pengetahuan; dan ruang awam. Maklumat lanjut berkenaan bidang tumpuan Hasanah dan kerja yang dilaksanakan dengan rakan kongsinya boleh didapati di www.yayasanhasanah.org.my

 

Salah satu gerai rakan kongsi masyarakat madani yang menyertai acara Hari Hasanah di PPR Seri Semarak, Kuala Lumpur

   Hari Hasanah

Sebagai sebahagian daripada usaha untuk terus menyokong keterangkuman sosial pada skala yang lebih besar, Khazanah dan Yayasan Hasanah pada tahun lalu telah menganjurkan Hari Hasanah, bertujuan menggalakkan rakyat Malaysia berbuat baik demi kepentingan orang ramai. Dianjurkan sebagai acara tahunan antara sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, Hari Hasanah julung kali diadakan pada 3 September 2017, sebagai salah satu inisiatif bawah kempen ‘Negaraku, Negara Kita’ oleh Khazanah untuk menyambut dan memperingati perjalanan dan kemajuan Malaysia selama 60 tahun. Dalam tahun-tahun yang mendatang, Hari Hasanah diharapkan akan menjadi penggerak untuk semua rakyat Malaysia bersatu dengan cara tersendiri, berbuat kebaikan yang dapat membantu memupuk kebersamaan dan mempromosikan perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai etnik dan berbilang budaya.

Selain daripada Khazanah dan Hasanah, Hari Hasanah yang julung kali diadakan menyaksikan pembabitan Yayasan Khazanah, Khazanah Research Institute, hink City, rakan kongsi masyarakat madani, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), dan kakitangan di peringkat organisasi dan persendirian. Mereka meluangkan masa dan usaha untuk mendekati serta menghulur pelbagai jenis bantuan kepada anggota masyarakat, terutamanya golonggan yang memerlukan.

Bagi Hari Hasanah yang pertama ini, lebih daripada 100 inisiatif dan aktiviti di 12 negeri telah dilaksanakan oleh pelbagai pihak (maklumat lanjut berkenaan inisiatif dan aktiviti boleh didapati di www.harihasanah.com.my). Inisiatif utama ini telah diadakan di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Semarak di Kuala Lumpur. PPR Seri Semarak merupakan kawasan projek perumahan rakyat bagi golongan berpendapatan rendah.

Acara setengah hari ini memuatkan pelbagai aktiviti dan bazar dengan perkhidmatan percuma, yang disediakan oleh Hasanah, hink City dan rangkaian rakan kongsi mereka, serta melibatkan beberapa GLC. Inisiatif ini telah menarik lebih daripada 3,000 orang masyarakat sekeliling, termasuk penduduk PPR Seri Semarak dan penduduk dari projek perumahan rakyat yang berhampiran.

Perdana Menteri Malaysia turut mengambil bahagian dalam inisiatif ini, yang mana beliau secara rasminya telah melancarkan Cruyff Court Seri Semarak yang terletak di PPR Seri Semarak, dan Cruyff Court Kampung Baru Air Panas di kawasan komuniti PPR Air Panas, yang terletak berhampiran.

Program Cruyff Court adalah kerjasama antara Yayasan Hasanah dengan Johan Cruyff Foundation untuk memberi peluang kepada anak-anak, golongan belia dan masyarakat sekitar untuk menikmati keunikan pengalaman sukan bola sepak di gelanggang khas. Cruyff Court yang pertama di Malaysia dibuka di Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru pada 2012, diikuti oleh Cruyff Court Brickfields di Kuala Lumpur pada tahun 2013.

Perdana Menteri juga mengambil bahagian dalam inisiatif Hari Hasanah di tapak Projek Taman Tugu, yang mana beliau menanam pokok Belian, untuk menzahirkan komitmen Kerajaan terhadap warisan dan pemuliharaan alam sekitar untuk manfaat generasi masa hadapan rakyat Malaysia. Projek Taman Tugu seluas 66 ekar adalah inisiatif tanggungjawab korporat pihak swasta dan awam yang diterajui oleh Khazanah, dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan pelbagai rakan kongsi dari sektor awam dan swasta, serta pertubuhan masyarakat madani. (Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai Projek Taman Tugu, layari www.tamantuguproject.com.my)

Di majlis ini, Perdana Menteri mengumumkan bahawa Amanah Warisan Negara, sebuah badan amanah awam nasional, akan memiliki dan mengurus Taman Tugu iaitu taman rimba bandar untuk dinikmati oleh rakyat Malaysia selama-lamanya. Selain itu, beliau juga mengumumkan bahawa tambahan 25 ekar lagi tanah bersebelahan Taman Tugu juga akan dipindahkan kepada Amanah Warisan Negara, untuk dipelihara sebagai ruang hijau awam.

Hasanah Bersama Rakyat

2017-2018

4 Sep

2017

Hari Hasanah di Seri Semarak, Kuala Lumpur

7,000 orang

42 aktiviti & bengkel

Pelancaran rasmi Cruyff Court Seri
Semarak dan Air Panas

25 Nov

2017

Hasanah Bersama Rakyat di Iskandar Puteri, Johor

1,200 orang

40 aktiviti & bengkel

13 Jan

2018

Hasanah Bersama Rakyat di Santubong, Sarawak

4,000 orang

70 aktiviti & bengkel

10 Mac

2018

Hasanah Bersama Rakyat di Jeli, Kelantan

10,000 orang

64 aktiviti & bengkel

17 Mac

2018

Hasanah Bersama Rakyat di Jerlun, Kedah

5,000 orang

70 aktiviti & bengkel

Susulan maklum balas positif yang kami terima daripada komuniti, rakan kongsi dan organisasi yang hadir dan mengambil bahagian dalam Hari Hasanah, kami memutuskan untuk menganjurkan acara ‘mini’ untuk menyebarkan semangat Hari Hasanah ke kawasan-kawasan lain di Malaysia.

Program mendekati masyarakat yang dikenali sebagai Hasanah Bersama Rakyat (HBR) ini berlandaskan pada prinsip yang sama bagi setiap orang yang berbuat baik demi kepentingan orang lain, terutamanya masyarakat berpendapatan rendah.

Empat acara HBR telah diadakan, iaitu di Iskandar Puteri, Johor; Santubong, Sarawak; Jeli, Kelantan; dan Jerlun, Kedah. Program ini sama seperti inisiatif Hari Hasanah di PPR Seri Semarak. Setiap acara HBR melibatkan pemimpin masyarakat tempatan, rakan kongsi masyarakat madani, GLC, NGO, agensi-agensi kerajaan dan pihak berkuasa tempatan, serta kakitangan dan sukarelawan. Hasil kerjasama kukuh, mereka menganjurkan pelbagai aktiviti dan menyediakan perkhidmatan percuma, meliputi aspek kewangan, kesihatan, pendidikan, pekerjaan, keusahawanan dan perkhidmatan awam kepada masyarakat sekeliling.

MELANGKAH KE HADAPAN

Hari Hasanah yang julung kali diadakan dan program bersama masyarakat iaitu Hasanah Bersama Rakyat adalah tonggak penting dalam usaha kami untuk terus menyokong keterangkuman sosial dalam skala yang lebih meluas. Kedua-dua inisiatif memperluas platform yang membolehkan kami memainkan peranan dalam memberi pulangan sosial kepada rakyat melalui pendekatan secara langsung dan berkesan. Dalam hubungan ini, kami memperoleh pengalaman, pandangan dan pendapat yang tidak ternilai yang dapat membantu kami meningkatkan lagi perkhidmatan dan mencapai hasil yang lebih baik.

Pada tahun-tahun yang mendatang, kami berharap Hari Hasanah akan menjadi penggerak untuk semua rakyat Malaysia bersatu dengan cara tersendiri, mengerjakan kebaikan supaya dapat membantu memupuk kebersamaan serta menggalakkan perpaduan dalam masyarakat pelbagai etnik dan berbilang kaum.

To add The Khazanah Report 2017 onto your home screen: tap and then Add to Home Screen