Please turn your device for a better experience
Berlatarkan tahun yang diselubungi ketidakstabilan ekonomi dan ketidaktentuan global, Khazanah terus melangkah maju, dan kekal teguh dalam menggalas mandat kami demi menzahirkan nilai mampan untuk rakyat Malaysia. Menerusi peruntukan modal secara berdisiplin, pelaburan strategik dan komitmen yang tidak berbelah bahagi terhadap kemampanan, kami terus menyumbang ke arah Malaysia yang lebih berdaya tahan, dengan menghasilkan pulangan ekonomi dan kemasyarakatan kepada negara.
Berlatarkan tahun yang diselubungi ketidakstabilan ekonomi dan ketidaktentuan global, Khazanah terus melangkah maju, dan kekal teguh dalam menggalas mandat kami demi menzahirkan nilai mampan untuk rakyat Malaysia. Menerusi peruntukan modal secara berdisiplin, pelaburan strategik dan komitmen yang tidak berbelah bahagi terhadap kemampanan, kami terus menyumbang ke arah Malaysia yang lebih berdaya tahan, dengan menghasilkan pulangan ekonomi dan kemasyarakatan kepada negara.
Berkongsi detik gembira dengan Tan Sri Abdul Wahid Omar, Pengerusi Bursa Malaysia, semasa Persidangan Global AVPN 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Tahun 2023 menghadirkan pelbagai cabaran dan peluang untuk Khazanah. Di peringkat global, inflasi yang tinggi memaksa bank pusat mengekalkan kadar faedah pada paras yang tinggi menerusi dasar monetari yang ketat. Pada masa yang sama, ketegangan geopolitik yang semakin meningkat yang menyaksikan konflik antara kuasa besar memburukkan lagi situasi ketidakstabilan ekonomi. Apabila digabungkan, keadaan yang agak memudaratkan ini terus mencabar pasaran global, meningkatkan ketidaktentuan serta merumitkan usaha pemulihan ekonomi. Di tanah air pula, gambaran yang terlukis untuk Malaysia adalah semangat yang optimistik, namun berhati-hati.
Pada 2023, BNM menaikkan OPR seiring dengan tindakan bank pusat di peringkat global, manakala Kerajaan mengeluarkan pelbagai pelan tindakan dan pelan hala tuju nasional (Ekonomi MADANI, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030). Walaupun beberapa tekanan domestik masih wujud, perkembangan ini membantu melonjakkan keyakinan terhadap daya tahan ekonomi Malaysia dan potensinya untuk terus tumbuh biarpun berada di tengah-tengah ketidaktentuan global ini.
Di sebalik suasana ini, Khazanah tetap berdedikasi dalam Memajukan Malaysia yang mengemudi pelaburan kami ke arah pembangunan mampan.
Kami mengorak langkah kemajuan yang ketara dalam menyokong Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dan Pelan Tindakan KL20, di samping melaksanakan pelbagai inisiatif yang sejajar dengan usaha mewujudkan nilai jangka panjang untuk Malaysia.
Kami mendapat suntikan semangat berdasarkan prospek untuk bekerjasama dengan Kerajaan bagi memacu pertumbuhan dan pembangunan negara. Secara khususnya, strategi pelaburan Malaysia dan pelan penciptaan nilai kami membolehkan Khazanah memainkan peranan penting dalam memacu transformasi ekonomi Malaysia, antara lain, dalam bidang peralihan tenaga, ketersambungan dan pendigitalan.
Meskipun keadaan pasaran diselubungi ketidaktentuan, Khazanah memperlihatkan peruntukan modal yang berdisiplin untuk menghasilkan pulangan yang mampan sambil melabur untuk masa depan. Khazanah mencatatkan keuntungan operasi sebanyak RM5.9 bilion, didorong oleh dividen dan pengagihan yang lebih tinggi daripada syarikat pelaburannya, keuntungan nilai saksama dan pemeliharaan modal. Kami terus membina kedudukan kewangan yang kukuh dengan nisbah Nilai Aset Boleh Direalisasi (RAV) berbanding hutang kekal sihat pada kadar 2.7x, walaupun terdapat peningkatan kecil dalam paras hutang kepada RM50.2 bilion berbanding RM49.1 bilion pada tahun sebelumnya.
Pelaburan kami di Malaysia adalah kunci kepada portfolio yang berdaya tahan, dan justeru itu, Khazanah sangat komited untuk mengelola aset Malaysia dan mencipta nilai yang mampan untuk rakyat Malaysia. Contoh yang menggalakkan ialah Malaysia Aviation Group Berhad (“MAGB”). Pada 2023, MAGB mencatatkan keuntungan bersih pertama selepas faedah dan cukai (NIAT) sejak penubuhannya (sehingga mencapai struktur semasanya) pada 2015, biarpun berhadapan kos operasi dan buruh yang lebih tinggi, ringgit (RM) yang lebih lemah, cabaran rantaian bekalan dan kadar faedah yang tinggi.
Perjalanan MAGB bukanlah sesuatu yang mudah: ia perlu menjalani penstrukturan semula kewangan pada 2021, melaksanakan pelan pemulihannya dan mengurangkan kerugian fiskal, semuanya, sambil bertahan hampir sedekad menanggung kerugian, sebelum mencapai prestasi tertinggi dalam sedekad pada 2023. Kisah kejayaan ini, antara lain, membuktikan betapa bernilainya memiliki pandangan jangka panjang dalam pelaburan, iaitu suatu pendekatan yang akan terus membimbing strategi dan tindakan kami.
Bersama kakitangan Khazanah semasa berlangsungnya Karnival Kerjaya Program Setahun Bersama Kerajaan Malaysia MADANI pada Disember 2023.
Untuk Memajukan Malaysia, Khazanah melabur merentasi seluruh spektrum ekonomi Malaysia, daripada syarikat tersenarai Malaysia kepada sektor baru muncul, serta di peringkat global dengan merentas pasaran, kelas aset, sektor dan geografi. Secara keseluruhan, kami berusaha untuk memberikan pulangan yang kukuh melalui portfolio pelaburan kami, dan dengan berbuat demikian, kekal dipandu oleh pendekatan yang mengutamakan nilai jangka panjang.
Bersama pasukan penganjur Khazanah Megatrends Forum 2023 (KMF 2023).
Pada tahun 2023, kami menerima pakai pendekatan berdasarkan misi bagi portfolio pelaburan Malaysia demi meningkatkan strategi kami dalam memacu pulangan yang mampan untuk negara. Lebih 60% daripada portfolio pelaburan kami tertumpu di Malaysia. Kami terus menempa kemajuan yang teguh menerusi Dana Impak dengan mengenal pasti program berimpak tinggi baharu bagi menzahirkan manfaat sosioekonomi kepada Malaysia dan memberi impak kepada pihak berkepentingan di Malaysia dari semua lapisan masyarakat: antara lain, daripada bakat masa depan, kepada usahawan, serta Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).
Tambahan lagi, kami meneruskan usaha mempelbagaikan portfolio melalui pelaburan dalam pasaran swasta dan awam di peringkat global. Dengan mengimbangi pendedahan di seluruh Malaysia dan geografi global, serta antara pelbagai sektor, kami berharap dapat memantapkan keupayaan portfolio untuk bertahan dalam menghadapi turun naik pasaran. Usaha pengimbangan semula yang dimulakan pada tahun-tahun sebelum ini ternyata telah membuahkan hasil yang positif, seperti yang terbukti menerusi prestasi portfolio 2023 kami.
Melangkaui aspek daya tahan portfolio, pendekatan kami terhadap pelaburan global merupakan kunci bagi Khazanah memudahkan aliran masuk ilmu pengetahuan, rangkaian hubungan, dan peluang pelaburan ke Malaysia. Kami percaya bahawa sinergi pendekatan global kami berpotensi menjana kesan limpahan untuk Malaysia, sama ada dalam bentuk penciptaan nilai dan ilmu pengetahuan untuk syarikat domestik kami, mengenal pasti peluang baharu untuk Dana Impak, atau memangkin pengembangan dalam bidang pertumbuhan baharu yang lain.
Kemampanan kekal sebagai teras kepada strategi kami pada 2023 dan akan terus diterapkan. Pertama, Khazanah berhasrat memainkan peranan utama dalam membentuk peralihan yang saksama dan bertanggungjawab dalam menuju ke arah masa depan yang mampan untuk Malaysia. Kedua, 2023 menyaksikan kami memenuhi sasaran ESG kami dalam mencapai operasi neutral karbon, melaksanakan rangka kerja DEI di seluruh organisasi, dan melaksanakan KPI berkaitan ESG untuk mereka yang menggalas peranan utama dalam kepimpinan di seluruh syarikat portfolio kami.
Secara keseluruhannya, perspektif jangka panjang Khazanah terhadap pertumbuhan mampan akan dipacu oleh strategi kami bagi Memajukan Malaysia, yang bergerak sejajar dengan aspirasi Ekonomi MADANI kerajaan dan rancangan pembangunan negara. Usaha kami akan tertumpu kepada “menaikkan lantai” demi meningkatkan kualiti hidup rakyat Malaysia, dan “menaikkan siling” untuk mengubah ekonomi negara sambil meningkatkan daya saing negara.
Pada 2023, Dana Impak, sebuah dana bernilai RM6 bilion yang dikhususkan untuk memberi impak kekal sebagai elemen penting dalam strategi kami untuk Memajukan Malaysia. Kami telah mengenal pasti projek bernilai kira-kira RM800 juta merentasi pelbagai bidang pencetus impak, yang kesemuanya bertujuan meningkatkan daya saing ekonomi Malaysia serta memupuk daya tahan negara. Beberapa inisiatif utama kami telah membuahkan hasil dalam bidang permulaan dan landskap keusahawanan, ekosistem PMKS, pertanian, bakat tersedia digital dan pengukuran impak.
Tiga finalis teratas Cabaran Impak Inovasi Khazanah 2023 – Braintree Technologies, Ultimeat dan Kapitani – yang dianugerahkan geran sehingga RM500,000 setiap pasukan, meraikan kejayaan mereka bersama-sama dengan Ketua Dana Impak, Bryan Lim (ketiga dari kiri).
Untuk memperkukuh landskap keusahawanan, kami melancarkan Future Malaysia Program (FMP) bagi menempatkan Khazanah sebagai pemain utama dalam mengukuhkan ekosistem permulaan tempatan. Kerjasama dengan firma modal teroka seperti Gobi Partners dan 500 Global menegaskan komitmen kami untuk memacu pertumbuhan dan inovasi dalam kalangan syarikat permulaan di Malaysia melalui sokongan dan pelaburan strategik.
Ekosistem PMKS menyaksikan peningkatan yang berterusan pada 2023. Kami melabur dalam PolicyStreet, sebuah syarikat teknologi insurans tindanan penuh tempatan, yang menyediakan produk insurans mengikut kesesuaian kepada lebih 500,000 pekerja sambilan dan 50,000 PKS, lantas meningkatkan jaminan kewangan bagi kumpulan yang kurang mendapat perkhidmatan ini. Selain itu, jalinan kerjasama kami yang berterusan dengan Funding Societies bertujuan menangani jurang pembiayaan sebanyak RM90 bilion untuk PMKS, dan seterusnya mengukuhkan sokongan kami terhadap sektor ini yang kritikal untuk fasa pertumbuhan Malaysia seterusnya.
Dalam bidang pertanian, kami melancarkan Cabaran Impak Inovasi Khazanah 2023 (KIIC 2023) untuk memperkukuh keupayaan Malaysia dari segi keterjaminan makanan dalam menghadapi cabaran iklim. Pada KIIC 2023, profil perniagaan yang inovatif telah memberi inspirasi kepada kami, dan ia merangkumi protein alternatif, penyelesaian automasi dan platform pasaran. Kami akhirnya telah menganugerahkan geran bernilai RM5.05 juta untuk menyokong potensi yang terdapat dalam projek-projek ini bagi memberi impak kepada industri pertanian.
Demi terus membantu pekebun kecil dalam subsektor pertanian, ternakan dan akuakultur, kami telah menyempurnakan projek Semai yang melibatkan tinjauan di seluruh negara, menjangkau lebih 3,300 pekebun kecil untuk memahami cabaran mereka. Penemuan daripada kaji selidik tersebut siap sedia memberikan pandangan tentang cabaran yang dihadapi oleh para pekebun kecil, dan diharapkan dapat menjadi panduan berharga dalam merangka strategi dan dasar pertanian pada masa hadapan.
Untuk terus berkembang maju dalam dunia yang semakin dikuasai teknologi digital, Malaysia memerlukan bakat yang tersedia untuk masa hadapan. Justeru itu, inisiatif Future Malaysia Skills (FMS) telah dibentuk sebagai sebuah platform penjanaan bakat bagi mempersiapkan Malaysia menghadapi masa depan pekerjaan. 42 Malaysia, sekolah sains komputer rakan-ke-rakan kami yang inovatif ini menyasar untuk membangunkan 10,000 para profesional teknologi yang berkemahiran sepanjang dekad akan datang, dengan perancangan untuk berkembang dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang, Iskandar Puteri, dan wilayah lain, termasuk Malaysia Timur. Selain itu, kami turut melabur dalam program pembangunan set kemahiran khusus bagi memperlengkap bakat Malaysia untuk sektor yang kalis masa hadapan seperti penjagaan kanak-kanak dan penjagaan warga emas.
Taklimat media mengenai Tinjauan Tahunan Khazanah 2024 (KAR2024) bersama dengan (dari kiri) Datuk Hisham Hamdan, Faridah Bakar Ali dan Datuk Amran Hafiz Affifudin.
Untuk memperkukuh pelaburan ini, tumpuan terarah kepada mewujudkan impak kemasyarakatan yang berkekalan. Bagi memudahkan pengukuran impak yang terhasil, kami telah memperhalusi Rangka Kerja SEMARAK, sebuah alat penilaian impak secara komprehensif yang telah dibangunkan pada tahun 2022. Pada mulanya, ia dilaksanakan untuk menjejaki impak terhadap inisiatif 42 Malaysia, dan sejak dari itu SEMARAK telah berkembang untuk digunakan dalam penilaian projek baharu merentasi pelbagai tema. Selain itu, kami berpeluang berkongsi rangka kerja SEMARAK dengan pelbagai pihak berkepentingan luar: antara lain, Asian Venture Philanthropy Network (AVPN) dan rakan kongsi FMP kami.
Nadi penggerak operasi kami adalah misi untuk terus menzahirkan nilai kemasyarakatan untuk rakyat Malaysia. Sejak 2006, kami telah melaksanakan inisiatif untuk membina kapasiti dan komuniti yang berdaya maju di seluruh negara dengan menyalurkan usaha kami kepada lima bidang fokus utama: Mewujudkan Peluang, Mewujudkan Negara Berdaya Saing, Pembangunan Komuniti, Pemuliharaan Alam Sekitar serta Pemeliharaan Seni, Warisan dan Budaya. Sehingga kini, Khazanah dan organisasi sokongan kami telah menyumbang RM2.6 bilion kepada pelbagai inisiatif di bawah tonggak tersebut.
Pada 2023, sayap kedermawanan kami, Yayasan Hasanah, terus memainkan peranan yang kritikal dalam menzahirkan nilai kemasyarakatan di seluruh Malaysia. Meraikan perjalanannya sepanjang sedekad, Yayasan Hasanah memberi impak kepada lebih 2.9 juta individu melalui program pendidikan, pembangunan komuniti dan kelestarian alam sekitar.
Kerjasama kami dengan Kementerian Kewangan melalui Geran Khas Hasanah (HSG) telah meluaskan jangkauan kami, menyokong pelbagai inisiatif yang meningkatkan kehidupan masyarakat, menambah baik kesihatan mental dan menggalakkan peluang sosioekonomi.
Selain itu, Taman Tugu, sebuah kawasan rimbunan hijau berkeluasan 66 ekar yang dibangunkan melalui kerjasama awam dan swasta, memperoleh kemampanan kewangannya menerusi pembaharuan sokongan daripada pelbagai entiti. Menerima lebih satu juta pengunjung sejak 2018, Taman Tugu telah memperkenalkan acara baharu pada 2023, yang memupuk penglibatan komuniti.
Seterusnya, Think City, rakan kongsi yang bertanggungjawab terhadap penghasilan projek dan perundingan dengan tertumpu kepada aspek pewujudan tempat, sosial dan alam sekitar, analisis serta pemuliharaan, meneruskan projek yang memberi nafas baru dengan mencetuskan impak yang besar kepada bandar, termasuk program Kita Untuk Kita (K2K) bagi menambah baik perumahan awam dan kerjasama demi menyerlahkan daerah kreatif Kuala Lumpur. Sejak 2009, Think City telah melaksanakan pelbagai program geran, lantas mengukuhkan peranannya dalam transformasi bandar.
Mentransformasi Taman Serba Guna di Perumahan Awam Jalan Hang Tuah, Program Penambahbaikan Ruang Awam ini, yang dibiayai oleh PNB Merdeka Ventures Sdn Berhad dan diterajui oleh Think City, bertujuan untuk mewujudkan ruang komuniti yang selamat dan terangkum. Ia meningkatkan kemudahan dengan ciri penyesuaian iklim seperti turapan berliang dan penggunaan bahan kitar semula.
Beralih ke tahun 2024, landskap ekonomi global terus berhadapan dengan pergolakan dan ketidaktentuan. Arah aliran utama yang membentuk persekitaran makroekonomi termasuk ketegangan geopolitik yang berterusan, dinamik perdagangan yang berkembang serta impak daripada dasar yang terhasil daripada kitaran pilihan raya global yang besar, dengan lebih 76 negara akan mengundi pada 2024. Namun demikian, kami kekal optimistik dan berada pada kedudukan strategik untuk mengemudi persekitaran yang kompleks ini dan terus menzahirkan nilai untuk Malaysia.
Di dalam negara, Malaysia diunjurkan mengalami pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 4-5% pada 2024, dipacu oleh penggunaan domestik yang teguh dan pemulihan dalam permintaan eksport, khususnya dalam elektronik. Tinjauan positif ini disokong oleh inisiatif strategik kerajaan seperti NETR, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), dan pembaharuan fiskal yang sedang berlangsung, bertujuan untuk memperluas asas cukai dan merasionalisasikan subsidi.
Pelaburan Khazanah akan terus menyokong strategi nasional ini, mengukuhkan komitmen kami untuk memacu pertumbuhan ekonomi Malaysia. Kami akan mengambil bahagian secara aktif dan menyokong pelancaran dasar-dasar ini, dengan memastikan portfolio kami berada pada kedudukan yang tepat untuk meraih manfaat daripada pemulihan dan pertumbuhan yang dijangkakan dalam sektor utama.
Kami akan meningkatkan peranan Malaysia sebagai sebuah hab strategik melalui pelaburan yang disasarkan dalam infrastruktur dan pengangkutan, terutamanya dalam aset utama seperti Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan Malaysia Aviation Group Berhad (MAGB). Usaha ini penting untuk menarik modal, para pelabur serta bakat, selaras dengan NIMP 2030.
Komitmen kami dalam menyokong matlamat pelepasan sifar bersih Malaysia menjelang 2050 akan direalisasi melalui kepimpinan dalam pelaksanaan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR). Projek yang diterajui oleh UEM Lestra, di bawah anak syarikat milik penuh kami UEM Group, melibatkan pembangunan tenaga boleh diperbaharui dan penyelesaian penyimpanan, di samping bangunan hijau dan inisiatif kecekapan tenaga, yang merupakan teras kepada strategi kami. Kami juga akan melaksanakan inisiatif ini melalui peranan pengawasan kami dalam Tenaga Nasional Berhad dengan mempercepatkan integrasi tenaga boleh diperbaharui (RE) melalui pelaburan dalam aset penghantaran dan pengagihan, antara lain, dengan tumpuan terhadap pemodenan grid.
Kami akan menerajui transformasi digital merentasi syarikat portfolio kami untuk meningkatkan produktiviti dan memantapkan daya saing global. Pelaburan dalam infrastruktur digital dan teknologi inovatif akan memacu kecekapan serta membuka peluang pertumbuhan baharu, meletakkan Malaysia di barisan hadapan ekonomi digital.
Melalui Dana Impak, kami akan merancakkan kembali ekosistem utama, menggalakkan kerjasama pihak berkepentingan dan mempengaruhi dasar untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan. Kami mengutamakan pelaburan dalam masyarakat digital, kesihatan dan pendidikan yang berkualiti, serta keterjaminan makanan bagi menangani cabaran sosioekonomi dalam jangka masa serta-merta dan jangka panjang. Khazanah, dengan peruntukan awal sebanyak RM1 bilion kepada National Fund-of-Funds, akan melabur dalam syarikat inovatif berketumbuhan tinggi untuk menghasilkan impak positif terhadap ekonomi Malaysia dan mengukuhkan ekosistem modal teroka negara.
Tatkala kami meraikan ulang tahun Khazanah yang ke-30 pada 2024, kami merenung kembali perjalanan pertumbuhan kami dan dalam membina daya tahan, yang terhasil kerana adanya sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada pihak berkepentingan – sektor swasta, kerajaan, dan yang paling penting, rakyat. Pencapaian kami sepanjang tiga dekad yang lalu memberi penekanan terhadap usaha kolaboratif dan perkongsian visi yang memacu kejayaan kami. Melangkah ke hadapan, penglibatan dan sokongan berterusan mereka menjadi penting ketika kami berusaha untuk membina masa depan yang makmur dan mampan untuk Malaysia.
Komitmen kami untuk menaikkan kedua-dua “siling” dan “lantai” ekonomi tetap berterusan. Kami akan terus memperjuangkan inisiatif yang meningkatkan daya saing ekonomi Malaysia, memupuk inovasi, dan membina daya tahan, memastikan manfaat pertumbuhan dan pembangunan dikongsi secara saksama dalam kalangan semua rakyat Malaysia.
Pencapaian kami pada 2023 berupaya digapai disebabkan oleh sokongan yang tidak pernah goyah daripada pihak berkepentingan, ahli lembaga pengarah dan kakitangan kami.
Sehubungan dengan itu, kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Ahli Lembaga Pengarah yang dihormati, Tan Sri Mohammed Azlan Hashim, Dato’ Zainal Abidin Putih, dan Lau Seng Yee, atas kebijaksanaan mereka yang tidak ternilai, dengan kesemua mereka berkhidmat membimbing kami sehingga Disember 2023. Sumbangan mereka ternyata penting dalam mencorak arus perjalanan kami.
Kami amat mengalu-alukan kehadiran ahli lembaga pengarah baharu, Wong Kang Hwee, dan berharap dapat meraih manfaat daripada kepakaran dan perspektifnya. Kami yakin, dengan sokongan Lembaga Pengarah, pihak pengurusan dan kakitangan kami yang berdedikasi, kami akan terus mengukir pencapaian baharu dan berkembang maju pada tahun-tahun berikutnya.
Dato’ Amirul Feisal Wan Zahir
Pengarah Urusan