Please turn your device for a better experience

Perutusan Pengerusi

Pihak Berkepentingan yang dihargai sekalian,

Tidak dapat dinafikan bahawa sebagai sebuah negara, kita sekali lagi terpaksa mengharungi tahun yang mencabar, dibayangi inflasi yang berterusan, pertumbuhan ekonomi yang lebih perlahan daripada biasa serta ketidaktentuan geopolitik. Namun demikian, kita berjaya menempuh badai ini, disokong oleh permintaan domestik yang kukuh. Walaupun ini adalah pencapaian yang baik, namun saya percaya Malaysia berpotensi menzahirkan lebih lagi dengan sokongan Khazanah dan melalui kerjasama strategik dengan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) serta Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC).

Dato’ Seri Anwar Ibrahim |  Pengerusi

Perutusan Pengerusi

Pihak Berkepentingan yang dihargai sekalian,

Tidak dapat dinafikan bahawa sebagai sebuah negara, kita sekali lagi terpaksa mengharungi tahun yang mencabar, dibayangi inflasi yang berterusan, pertumbuhan ekonomi yang lebih perlahan daripada biasa serta ketidaktentuan geopolitik. Namun demikian, kita berjaya menempuh badai ini, disokong oleh permintaan domestik yang kukuh. Walaupun ini adalah pencapaian yang baik, namun saya percaya Malaysia berpotensi menzahirkan lebih lagi dengan sokongan Khazanah dan melalui kerjasama strategik dengan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) serta Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC).


Memperkasa Masa Depan Malaysia

Rangka Kerja Ekonomi MADANI telah dilancarkan pada Julai 2023. Ia merupakan strategi komprehensif yang dirangka untuk menyusun semula ekonomi, menempatkan Malaysia sebagai pemain terkemuka di Asia Tenggara, serta memastikan bahawa manfaat ekonomi dikongsi secara saksama dengan “menaikkan lantai” dan “menaikkan siling”. Komponen utamanya termasuk melonjakkan pelaburan langsung domestik (DDI), menggalakkan inovasi dan memajukan rantaian nilai.

Pelancaran Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 adalah antara beberapa pelan tindakan utama yang akan membantu kita mencapai objektif ini.


Momentum yang Mencipta Rekod

Dengan sukacitanya saya ingin mengongsikan bahawa langkah-langkah proaktif ini telah diterima dengan baik dan telah mula membuahkan hasil. Malaysia merekodkan pelaburan diluluskan yang tertinggi dalam sejarah sebanyak RM329.5 bilion pada 2023, dengan peningkatan ketara 35.1% tahun ke tahun dalam DDI. Ini membuktikan bahawa syarikat di seluruh spektrum perniagaan, termasuk GLC dan GLIC, telah menyahut seruan saya dengan positif untuk melakukan pelaburan domestik secara lebih mendalam. Dengan berbuat demikian, saya yakin bahawa pelabur asing akan lebih berani untuk melabur lebih banyak di Malaysia memandangkan keyakinan teguh yang dimiliki oleh pelabur tempatan terhadap ekonomi kita.


Dato’ Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan penutupnya pada majlis Khazanah Megatrends Forum 2023.

Pencapaian Kami pada 2023

Khazanah mencatatkan keputusan kewangan yang kukuh pada 2023 meskipun berlatarkan persekitaran global dan domestik yang mencabar, dengan menempatkan kembali portfolionya pada landasan secara berkesan selepas tempoh lima tahun yang mencabar. Ia meneruskan agenda kemampanan dengan pelancaran platform pelaburan hijau melalui UEM Lestra Berhad, sejajar dengan matlamat NETR iaitu pelepasan sifar bersih menjelang 2050. Selain itu, Khazanah turut melabur lebih RM800 juta melalui Dana Impak bagi menyuburkan ekosistem digital dan syarikat pemula niaga di Malaysia, lantas memperkukuh strategi Memajukan Malaysia. Secara dalaman, Khazanah telah memenuhi sasaran Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dengan mencapai operasi neutral karbon dan mewujudkan rangka kerja Kepelbagaian, Ekuiti dan Keterangkuman (DEI). Meraikan sedekad dalam mencetus impak kedermawanan, Yayasan Hasanah telah mendekati lebih 2.9 juta orang, memajukan pendidikan, pembangunan masyarakat, seni dan ilmu pengetahuan dengan ketara.


Berkongsi Tanggungjawab dalam Pembinaan Negara

Pada 2023, Khazanah meneruskan strategi Memajukan Malaysia dengan bergerak rapat sejajar dengan Rangka Kerja Ekonomi MADANI melalui inisiatif pembangunan negara dan pembangunan mampan. Pelaburan strategik dalam sektor berkembang pesat seperti teknologi digital dan tenaga boleh diperbaharui telah menyumbang secara langsung kepada peningkatan daya saing ekonomi Malaysia. Di samping itu, Khazanah turut menyokong ekosistem Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) secara aktif dengan menggalakkan transformasi dan inovasi digital bagi memacu aktiviti ekonomi di seluruh negara.

Tumpuan Khazanah terhadap impak sosioekonomi menyaksikannya terus menyokong matlamat Rangka Kerja Ekonomi MADANI dengan menggalakkan pertumbuhan terangkum dan membina daya tahan negara. Isu keterjaminan makanan ditangani melalui projek seperti Cabaran Impak Inovasi Khazanah oleh Dana Impak, manakala inisiatif Future Malaysia Skills merapatkan jurang kemahiran dan mempersiapkan tenaga kerja untuk permintaan masa depan. Usaha pembangunan komuniti, yang diterajui oleh Yayasan Hasanah telah meningkatkan manfaat sosioekonomi penduduk yang kurang mendapat perkhidmatan. Akhir sekali, dengan menyepadukan prinsip ESG ke dalam operasi Khazanah dan memperhalusi rangka kerja penilaian impak SEMARAK, kami memastikan bahawa inisiatif kami memberi manfaat ketara, menyumbang kepada daya tahan dan kemakmuran sosioekonomi Malaysia.

Walaupun banyak kemajuan telah dicapai, kejayaan kolektif dan berterusan kami dalam semua ikhtiar ini bergantung kepada kesatuan usaha semua pihak berkepentingan. Pembinaan negara merupakan tanggungjawab bersama, dan Khazanah bersungguh-sungguh meneroka peluang kerjasama dengan lain-lain GLIC, GLC, sektor swasta, dan masyarakat Malaysia yang lebih luas untuk memacu pertumbuhan dan menjamin kemakmuran ekonomi.

Dato’ Seri Anwar Ibrahmi, Datuk Amir Hamzah Azizan dan Dato’ Amirul Feisal menghadiri sesi jelajah galeri yang mempamerkan visi untuk memberi nafas baru kepada Bangunan Sultan Abdul Samad.


Dato’ Seri Anwar Ibrahim menghadiri Program Karnival Kerjaya Setahun Bersama Kerajaaan Malaysia MADANI yang berlangsung di Stadium Bukit Jalil.

30 Tahun dan Seterusnya

Peranan Khazanah telah berkembang sepanjang tiga dekad lalu, sepadan dengan kemajuan dan pembangunan ekonomi serta keperluan masyarakat di Malaysia. Biarpun begitu, Khazanah tetap berpegang teguh kepada misi pembinaan negara. Menerusi pelaburan strategik dalam ekonomi mampan dan nilai kemasyarakatan, Khazanah memperkasa generasi akan datang dan menyumbang secara bermakna kepada kemajuan Malaysia.

Terletak di tengah-tengah Asia Tenggara dan pusat rantau Asia Pasifik yang lebih luas, saya percaya bahawa banyak yang dapat ditawarkan oleh Malaysia kepada dunia. Dalam hal ini, Khazanah kekal tidak berbelah bahagi dalam agendanya untuk menyokong pertumbuhan ekonomi Malaysia melalui penciptaan nilai strategik dalam pelaburan sedia ada dan dengan meneroka ruang pertumbuhan baharu.


Penghargaan

Sebagai penutup, saya mengucapkan terima kasih yang setulusnya kepada Ahli Lembaga Pengarah Khazanah atas keputusan mereka yang teguh dan bertanggungjawab, lantas memastikan tadbir urus dan prestasi yang mantap. Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Ahli yang meninggalkan Lembaga Pengarah - Tan Sri Mohammed Azlan Hashim, Dato’ Zainal Abidin Putih, dan Lau Seng Yee - di atas khidmat mereka yang penuh berdedikasi. Sumbangan mereka tidak ternilai, dan legasi mereka akan memberi inspirasi kepada kami dalam menempa kemajuan berterusan.


Dato’ Seri Anwar Ibrahim
Pengerusi

Perutusan Pengerusi