Please turn your device for a better experience

Memajukan Malaysia bagi Tempoh Jangka Panjang

‣ Dato’ Feisal bersama pasukan penganjuran Khazanah Megatrends Forum (KMF 2022)

Pelaburan dan inisiatif kami yang pelbagai disokong oleh strategi utama kami iaitu Memajukan Malaysia. Ini bermaksud menyampaikan pulangan yang kukuh melalui portfolio pelaburan kami dan dalam mencapainya, adalah penting untuk kami kekal dipandu oleh pendekatan mampan yang mengutamakan nilai jangka panjang.

Tahun 2022 diakui sebagai satu tempoh yang mencabar bukan hanya kepada Khazanah tetapi juga pelabur institusi domestik dan antarabangsa serta pemilik aset lain. Kemeruapan yang menjejaskan pasaran dunia akibat persekitaran makroekonomi yang tidak menentu menyaksikan Portfolio Pelaburan kami mencatatkan pulangan Nilai Aset Bersih negatif 5.7%.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyatakan penghargaan kepada warga Khazanah atas usaha dan komitmen bersama yang membolehkan kami mengharungi tempoh yang sukar dengan mengekalkan pelaburan, lebih berdisiplin dalam melabur dan pengewangan merentasi kelas aset selain meneruskan pengawasan yang aktif terhadap syarikat portfolio, bagi memastikan matlamat penciptaan nilai kami berada di landasan yang betul dan mampu menempatkan kami pada kedudukan yang lebih kukuh pada masa hadapan.

Memajukan Malaysia juga bukan sekadar meraih pulangan kewangan. Sebagai sebahagian daripada usaha membangunkan negara, mandat kami adalah memacu nilai dan impak sosioekonomi melalui pembangunan bidang-bidang pertumbuhan baharu di Malaysia, sekali gus melonjakkan daya saing dan prestasi syarikat-syarikat utama supaya berkembang menjadi juara negara. Langkah ini seterusnya akan menggalakkan inovasi merentasi seluruh landskap korporat.

Sebagai contoh, Farm Fresh, salah sebuah syarikat portfolio jangka panjang kami. Farm Fresh merupakan sebuah syarikat yang kecil tetapi berapirasi tinggi pada tahun 2010, dengan misi untuk mengubah industri melalui penerapan kaedah-kaedah baru untuk meningkatkan hasil dan merintis kaedah pengagihan inovatif melalui rangkaian ‘home dealer’, membolehkan masyarakat luar bandar mendapat akses kepada produk tenusu yang segar. Selepas 12 tahun berikutnya, Farm Fresh melaksanakan salah satu IPO (Tawaran Permulaan Awam) paling berjaya dalam sejarah Malaysia, sekali gus meletakkan syarikat itu dalam kedudukan yang baik untuk melebarkan sayap ke persada antarabangsa.

Kejayaan ini, antara lain, adalah bukti betapa pentingnya mengamalkan pandangan jangka panjang bagi pelaburan, pendekatan yang akan terus menjadi pembimbing kepada strategi dan tindakan kami.

Membina Malaysia yang Lebih Baik,
selaras dengan Malaysia MADANI

Komitmen berterusan kami dalam menghasilkan nilai jangka panjang kepada rakyat Malaysia adalah berdasarkan asas tadbir urus yang baik selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Strategi Memajukan Malaysiaboleh diibarat seperti membina sebuah rumah. Lantai rumahnya mewakili usaha kami membina daya tahan negara manakala siling pula adalah daya saing dan pertumbuhan negara. Dalam Memajukan Malaysia, Khazanah pula menjadi pembina rumah yang berusaha untuk mengukuhkan lantai dan meninggikan siling dengan cara yang mampan dan tadbir urus yang betul.

Kami juga bersemangat untuk berkerjasama dengan kerajaan dalam memacu pertumbuhan dan pembangunan negara.

Key personnel from Khazanah and 42 Malaysia (42MY) at the Dana Impak x 42MY booth at the Youth Empowerment Fair 2023 (YEF2023)
‣ Kakitangan utama Khazanah dan 42 Malaysia (42MY) di Pameran Pemerkasaan Belia 2023 (YEF2023)

Memangkin Pertumbuhan Secara Mampan

Kami telah mencapai kemajuan kukuh bagi Dana Impak, peruntukan RM6 bilion yang diperuntukkan khusus untuk melabur dalam bidang-bidang yang membantu meningkatkan daya saing ekonomi Malaysia dan membina daya tahan negara.

Pada tahun 2022, projek-projek baharu bernilai RM500 juta dikenal pasti untuk memberikan manfaat sosioekonomi kepada rakyat Malaysia, merangkumi pelbagai bidang-bidang yang membawa impak termasuklah peningkatan kemahiran digital, menggalakkan pelaburan dalam syarikat usahawan tempatan serta ekosistem modal teroka dan sektor agrimakanan. Pelbagai inisiatif yang kami perkenalkan adalah bertujuan menyokong ekosistem pemula (start-up) tempatan yang terdiri daripada usahawan, syarikat-syarikat pemula, modal teroka dan program usaha niaga korporat di bawah Future Malaysia Programme, yang melibatkan kerjasama dengan rakan kongsi domestik dan antarabangsa.

Selari dengan usaha tersebut, kami bekerjasama dengan pelbagai rakan kongsi seperti dana modal teroka, program pemecut (accelerator) dan platform inovasi global untuk mewujudkan ekosistem syarikat pemula tempatan yang berdaya.

Sebagai tambahan, kami juga menjalin usaha sama dengan Sunway Education Group untuk menubuhkan 42 Malaysia, sebuah sekolah sains komputer rakan setara (peer-to-peer) yang inovatif bertujuan mempercepatkan pembangunan 10,000 bakat mahir teknologi dalam tempoh 10 tahun akan datang. Program 42 Malaysia bakal menyediakan rakyat Malaysia dengan kemahiran bagi mendapat pekerjaan berkualiti tinggi, yang menawarkan kehidupan lebih baik sambil memacu landskap industri yang kompetitif bagi pertumbuhan ekonomi Malaysia.

‣ Taklimat media Ulasan Tahunan Khazanah 2023 (KAR2023)

Portfolio Dana Impak menyasarkan penciptaan impak sosial yang berpanjangan dengan tumpuan menyeluruh terhadap kemampanan dan kesinambungan usaha Program Transformasi GLC (GLCT) yang bermula pada tahun 2005, yang berkembang kepada peluang-peluang pelaburan bertemakan kemampanan dan yang terkini, peranan utama kami dalam memacu ESG merentasi landskap korporat Malaysia. Pada tahun 2022, kami melancarkan penyata Jangkaan Pemegang Saham dan Kepengurusan Pelaburan yang memperincikan enam teras jangkaan syarikatsyarikat portfolio kami, termasuk menerapkan amalan perniagaan yang mampan.

Dengan aspirasi untuk membentuk peralihan saksama dan bertanggungjawab ke arah mencapai masa depan Malaysia yang mampan, Sasaran Kemampanan Khazanah menggariskan lapan sasaran berasaskan masa merentasi spektrum ESG yang turut menetapkan 30% wakil wanita dalam Lembaga Pengarah dan barisan kepemimpinan kanan kami menjelang tahun 2025, meningkatkan kecekapan Lembaga Pengarah di syarikat-syarikat pelaburan kami menjelang tahun 2024 dan mencapai pelepasan Karbon Sifar Bersih menjelang tahun 2050.

Pelaksanaan strategi kami untuk mencipta nilai yang mampan adalah berpandukan prinsip Peralihan Saksama, Rangka Kerja Kemampanan Khazanah dan Prinsip Panduan berkaitan kemampanan bagi memastikan semua pelaksanaan kami, daripada strategi pelaburan kepada amalan dalaman, mencapai hasil yang positif dan lebih baik bagi memberi manfaat kepada ekonomi dan masyarakat secara keseluruhan.

Ke Arah Masa Depan Yang Mampan

Melihat jauh ke hadapan, kami mempunyai alasan yang kukuh untuk mempercayai bahawa ketidaktentuan makroekonomi dan geopolitik akan berterusan hingga tahun 2023. Ini bermakna kami berdepan dengan persekitaran pelaburan yang mencabar di seluruh kelas aset kami, sekali gus akan terus menjejaskan prestasi jangka pendek kami.

Di tengah-tengah ketidaktentuan ini, kami akan terus memberikan tumpuan kepada pengimbangan semula portfolio bagi meningkatkan kepelbagaiannya, sambil kekal memantau pasaran dunia bagi menerokai peluang-peluang dalam ekuiti awam, ekuiti swasta dan aset nyata. Ini merupakan strategi kami untuk membina daya tahan portfolio selain meneruskan penciptaan nilai dan pemantauan syarikat portfolio utama kami, agar Khazanah dapat mengembangkan portfolio bagi tempoh jangka panjang dan menempatkan kami pada kedudukan lebih kukuh dan berkapasiti lebih tinggi untuk membiayai mandat kami.

Namun begitu, persekitaran operasi yang tidak menentu ini juga mempertajam tumpuan kami untuk melabur dalam peluang-peluang yang berpotensi menjana pertumbuhan jangka panjang, tanpa mengira keadaan pasaran semasa.

Pada akhirnya, strategi Memajukan Malaysia akan menjadikan tindakan kami lebih jelas, membimbing pelaburan dalam sektor pemangkin, pasaran modal Malaysia dan global serta komuniti tempatan, disatukan oleh keperluan untuk membina sebuah negara lebih kukuh dan lebih mampan untuk manfaat semua rakyat Malaysia.

Key personnel from Khazanah and 42 Malaysia (42MY) at the Dana Impak x 42MY booth at the Youth Empowerment Fair 2023 (YEF2023)
‣ 42 Malaysia, sebuah sekolah sains komputer rakan setara (peer-to-peer) yang inovatif apabila menyediakan kepada rakyat Malaysia peluang pendidikan unik secara percuma

Penghargaan

Key personnel from Khazanah and 42 Malaysia (42MY) at the Dana Impak x 42MY booth at the Youth Empowerment Fair 2023 (YEF2023)
‣ Sebagai sebahagian daripada usahanya memelihara warisan negara Malaysia, Khazanah merancang untuk memulihkan dan memperbaharui bangunan bersejarah seperti Bangunan Sultan Abdul Samad dan Carcosa Sri Negara. Ini akan dilaksanakan di bawah inisiatif perkongsian awam-swasta dan juga kerjasama Think City

Bagi pihak keluarga Khazanah, saya ingin mengalu-alukan YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai Pengerusi baharu yang juga satu penghormatan yang besar bagi kami. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk menyampaikan penghargaan dan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada Pengerusi dan Lembaga Pengarah atas bimbingan dan perhatian yang berterusan.

Di Khazanah, kami amat bersedia untuk memainkan peranan dalam memperkasakan negara, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.