Perutusan Pengerusi

Membimbing Mandat Khazanah dengan Matlamat

Oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Pengerusi Khazanah Nasional Berhad

Perutusan Pengerusi

Pihak Berkepentingan Yang Dihormati,

Kekayaan sesebuah negara tidak diukur melalui pertumbuhan angka semata-mata. Persoalan yang lebih besar adalah sama ada kemakmuran meningkatkan kehidupan rakyat, pekerjaan menaikkan taraf hidup dan generasi muda mewarisi negara yang lebih kaya dari segi pelbagai peluang. Demikianlah matlamat Ekonomi MADANI.

Ekonomi global kini semakin berpecah-pecah dan kompetitif. Rantaian bekalan mula berubah. Perubahan teknologi juga turut mengubah landskap industri secara menyeluruh. Persaingan strategik antara kuasa-kuasa besar kini bergantung kepada dasar perdagangan, pelaburan dan perindustrian. Mana-mana negara yang gagal menyesuaikan diri akan ketinggalan.

Malaysia telah mentafsirkan cabaran-cabaran ini dengan jelas, dan mengambil langkah untuk menghadapinya. Melalui Ekonomi MADANI dan pelbagai pelan kebangsaan seperti Pelan Induk Perindustrian Negara Baharu 2030, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara, Strategi Semikonduktor Nasional dan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035, negara ini berusaha untuk mengukuhkan asas perindustrian dan bergerak ke arah aktiviti ekonomi yang lebih maju.

Walau bagaimanapun, rangka kerja dasar sahaja tidak memadai. Malaysia memerlukan syarikat-syarikat yang lebih kukuh dan berdaya saing dengan keupayaan teknikal yang tinggi dan kesanggupan untuk bersaing pada peringkat antarabangsa. Syarikatsyarikat ini juga perlu lebih bijak dalam menentukan di mana tumpuan perlu diberikan, dengan membina kelebihan dan bukan sekadar mengejar trend semata-mata.

Meskipun memegang peranan penting, Kerajaan tidak boleh memikul beban ini bersendirian. Modal swasta atau persendirian, para usahawan, penyelidik dan tenaga kerja perlu memainkan peranan masingmasing. Khazanah Nasional diwujudkan untuk menyokong usaha ini dengan lebih meluas.

Memajukan Keutamaan Negara

Tanggungjawab Khazanah melangkaui pulangan kewangan segera. Ia berperanan untuk melabur dengan perancangan jangka panjang, terutamanya dalam bidang-bidang yang kemajuannya memerlukan komitmen dan penyelarasan berterusan.

Dana Impak mencerminkan pendekatan ini. Ia menyokong ekosistem modal teroka dan membantu perniagaan berkembang kepada industri yang mempunyai keperluan lebih mendesak dari segi teknologi. Matlamat ini penting bagi membantu syarikat-syarikat yang lebih berupaya, lebih produktif dan lebih mampu bersaing pada peringkat antarabangsa.

Sektor-sektor keutamaan adalah jelas. Ia termasuklah semikonduktor, pembuatan termaju, infrastruktur digital, peralihan tenaga dan kecerdasan buatan (AI). Semua industri ini akan membentuk pertumbuhan masa hadapan dan menentukan nilai ekonomi dan keupayaan teknologi yang bakal menjadi tumpuan pada tahun-tahun akan datang.

Memperkukuh Asas Untuk Masa Hadapan

Pembangunan ekonomi tidak seharusnya menjejaskan warisan silam mahupun identiti negara.

Prinsip ini dapat dilihat melalui usahausaha yang dilaksanakan oleh Khazanah melalui inisiatif Dana Warisan dan Warisan KL. Pemuliharaan Seri Negara, Bangunan Sultan Abdul Samad dan Pejabat Pos Besar Lama, menjangkaui pemeliharaan bangunan bersejarah. Bandar, seperti negara, mengambil sebahagian kekuatannya daripada kesinambungan masa. Namun, apabila terlalu banyak warisan silam terhapus, identiti sesebuah negara turut pudar bersama.

Tapak-tapak warisan silam ini dibuka semula kepada orang ramai pada Disember 2025 berikutan selesainya kerja-kerja yang bermula pada tahun 2022. Pemuliharaan tapak-tapak ini mencerminkan kepentingan pembangunan bandar bersejarah dalam memperkukuh identiti sesebuah negara.

Melangkah ke Hadapan

Malaysia mempunyai bakat dan keupayaan untuk berkembang maju dalam dunia yang lebih mendesak. Cabarannya kini bergantung kepada disiplin untuk kekal di landasan yang betul.

Kepada Lembaga Pengarah, pihak pengurusan dan kakitangan Khazanah Nasional, terima kasih atas dedikasi dan komitmen anda. Kepada rakan kongsi dan pihak berkepentingan kami, terima kasih atas kepercayaan dan sokongan berterusan anda.

Semoga usaha kita menyumbang ke arah membina Malaysia yang lebih berkeyakinan dan teguh dalam menentukan haluannya. Insya-Allah.