Modal Bermatlamat

Menghubungkan Dunia kepada Malaysia

Picture of Oleh Dato’ Amirul Feisal Wan Zahir, Pengarah Urusan
Oleh Dato’ Amirul Feisal Wan Zahir, Pengarah Urusan

Membina Ketahanan Dalam Ketersambungan Negara

Kedudukan geografi Malaysia yang strategik di tengah-tengah Asia Tenggara, kepelbagaian budaya, aset pelancongan dan infrastruktur penerbangan yang teguh memberikan asas bagi negara untuk menjadi salah satu hab ketersambungan yang terkemuka di rantau ini. Dalam konteks ini, ketersambungan menjangkaui infrastruktur pengangkutan. Ia menjadi pemboleh strategik daya saing perdagangan, pelancongan, pelaburan dan negara yang strategik.

Bagi Khazanah, ketersambungan mewakili salah satu tonggak utama dalam mandat Memajukan Malaysia yang lebih luas di samping pendigitalan, peralihan tenaga dan transformasi syarikat. Objektif ini bukan sahaja untuk menyediakan pengangkutan awam yang cekap, tetapi juga mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam aliran ekonomi global.

Ketersambungan juga adalah salah satu penyataan daya saing negara yang jelas. Ia membentuk cara bagaimana sesebuah negara diakses, dialami dan dinilai oleh dunia. Namun selama bertahun-tahun, ekosistem Malaysia bagi menghubungkan negara kepada dunia luar bukannya terbatas oleh kekurangan kapasiti, tetapi oleh ketidakseimbangan struktur yang lebih mendalam, serta mengehadkan potensi penuh dan keupayaan untuk menjana nilai mampan.

Sekilas pandang, Kuala Lumpur kelihatan mempunyai ketersambungan yang baik dengan penerbangan yang kerap, pelbagai destinasi dan banyak lagi, tetapi kualiti ketersambungan memberikan cerita yang berbeza. Pasaran telah menetapkan kedudukan hasil rendah dengan Malaysia dianggap sebagai satu transit kos rendah bukannya satu destinasi tersendiri. Ini jelas dari segi ketersambungan jarak jauh yang lemah dan perbelanjaan pelancongan yang rendah berbanding dengan negara-negara jiran seperti Singapura dan Bangkok.

Persepsi ini telah mengekang kemasukan syarikat penerbangan jarak jauh premium, mengekang pulangan di seluruh sistem, serta membataskan pelaburan semula dalam infrastruktur dan perkhidmatan berkaitan.

Diagnosis: Memutuskan Kitaran Pulangan yang Rendah

Ini bukanlah kehakisan sesebuah institusi, tetapi kegagalan sistem yang sudah tidak lagi selari.

Kekangan utama dalam ekosistem penerbangan Malaysia ialah ketidakseimbangan antara kekuatan ketersambungan jarak dekat dengan kelemahan ketersambungan jarak jauh. Walaupun kapasiti tempat duduk bagi penerbangan serantau dan domestik kekal kompetitif, ketersambungan jarak jauh ketinggalan berbanding dengan hab serantau seperti Singapura dan Bangkok, menurut data Suruhanjaya Penerbangan Malaysia.

Dari segi sejarah, asas perniagaan untuk syarikat penerbangan global premium memasuki pasaran Malaysia adalah lemah. Kekurangan permintaan terhadap Kuala Lumpur sebagai destinasi telah menekan tahap hasil yang diperlukan oleh syarikat penerbangan untuk mengekalkan laluan jarak jauh.

Tindak balas kami bermula dengan satu pengakuan yang penting: kami sebenarnya mengurus sebuah sistem yang sudah tidak lagi selaras dan telah lama kekurangan pelaburan selama beberapa dekad. Syarikat penerbangan sedang melaksanakan penstrukturan semula dari segi “perisian”, iaitu perkhidmatan, kebolehpercayaan dan pengangkutan, namun usaha ini berlaku dalam keadaan “perkakasan” lapangan terbang yang semakin usang.

Pada masa yang sama, Kuala Lumpur, walaupun berperanan sebagai hab ekonomi negara, menawarkan tarikan yang terhad untuk menggalakkan pelancong tinggal lebih lama.

Oleh itu, usaha untuk memperbaiki ketersambungan memerlukan lebih daripada sekadar modal. Ia memerlukan penyelarasan semula secara berstruktur ke atas keseluruhan ekosistem.

Perkakasan dan Perisian: Penyelarasan Hab

Bagi memutuskan kitaran hasil rendah, kami perlu menangani ketidakselarasan asas antara “perkakasan” infrastruktur dengan “perisian” dalam penyampaian perkhidmatan. Sebagai pemegang kepentingan utama dalam kedua-dua lapangan terbang dan syarikat penerbangan, kami menyedari bahawa entiti-entiti ini tidak lagi boleh berfungsi secara terasing dalam menyelesaikan cabaran masing-masing.

Langkah pertama ialah tindak balas pragmatik terhadap cabaran di Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB). Sebagai entiti tersenarai, MAHB terikat dengan jangkaan pasaran suku tahunan dan tekanan pembayaran dividen, walaupun sektor ini memerlukan perbelanjaan modal yang jauh lebih tinggi untuk memodenkan infrastruktur, memulihkan aset yang semakin usang serta mempercepat peluasan.

Membina semula daya saing memerlukan model operasi berbeza yang berupaya menyokong penempatan modal jangka panjang, transformasi operasi dan pelaksanaan berdisiplin selama beberapa tahun.

Oleh itu, menerajui penswastaan MAHB merupakan satu intervensi berstruktur yang bermatlamat untuk meletakkan semula ekosistem penerbangan Malaysia pada kedudukan yang lebih kukuh bagi jangka panjang. Ia kini mempunyai “ruang tenang” yang diperlukan bagi menumpukan kepada transformasi operasi dan membina semula statusnya sebagai laluan masuk bertaraf dunia.

Aspirasi ini bukan sahaja untuk mempertingkatkan operasi lapangan terbang, tetapi juga untuk mengembalikan kedudukan KLIA sebagai hab serantau terkemuka yang berupaya bersaing dengan lapangan terbang seperti Changi dan Suvarnabhumi melalui hubungan rangkaian yang lebih kukuh, pengalaman penumpang yang lebih baik, pelaksanaan projek yang lebih pantas dan penawaran komersial yang dipertingkatkan.

Penunjuk prestasi adalah menggalakkan berikutan penswastaan. Pada tahun 2025, MAHB mengendalikan 104.4 juta penumpang merentas rangkaian Malaysia, mewakili peningkatan sebanyak 11.2% dari tahun ke tahun, manakala KLIA sahaja mencatatkan 63.3 juta penumpang, peningkatan sebanyak 10.8%.

Selain pertumbuhan jumlah penumpang, kembalinya syarikat penerbangan global seperti British Airways dan Lufthansa, bersama dengan kemasukan pendatang baharu seperti Fits Air dan Juneyao Airlines mencerminkan keyakinan yang terhadap ekosistem penerbangan Malaysia dan potensi jangka panjang sebagai hab penerbangan.

Pada masa yang sama, kami kekal komited dalam penstrukturan semula Malaysia Aviation Group (MAG). Ia adalah perjalanan sukar selama sedekad, tetapi perlu untuk membina keupayaan operasi yang menyokong ketersambungan negara.

Selama bertahun-tahun, syarikat penerbangan nasional telah melalui proses penstrukturan semula yang berpanjangan, serta ditandai oleh pelbagai cabaran operasi dan kewangan yang menjejaskan keupayaannya untuk menyokong aspirasi Malaysia secara konsisten sebagai hab penerbangan serantau. Kebolehpercayaan, kestabilan operasi dan pengalaman pelanggan kekal sebagai antara aspek utama yang memerlukan penambahbaikan. Pengukuhan syarikat penerbangan nasional merupakan langkah penting peranan KLIA dalam ekosistem ketersambungan yang lebih luas.

Oleh itu, usaha pemulihan ini memerlukan lebih daripada sekadar rasionalisasi kos. Ia menuntut disiplin operasi yang lebih kukuh, pengoptimuman armada pesawat, pemulihan kualiti perkhidmatan, serta usaha membina semula kepercayaan pelanggan. Dengan memberi tumpuan kepada keutamaan-keutamaan ini, syarikat penerbangan ini telah mengukuhkan kedudukannya sebagai tonggak yang boleh dipercayai bagi menyokong peranannya sebagai hab penerbangan negara.

Menjelang tahun 2025, syarikat penerbangan ini mencatatkan keuntungan bersih selepas cukai sebanyak RM137 juta, menandakan tahun ketiga berturut-turut keuntungan serta peningkatan sebanyak 154% berbanding RM54 juta pada tahun 2024. Pencapaian ini didorong oleh prestasi operasi yang lebih kukuh dengan prestasi ketepatan masa (on-time performance) meningkat daripada 72% pada tahun 2024 kepada 88% setakat suku pertama 2026, di samping peningkatan yang ketara dalam kedudukan penarafan global, serta persepsi pelanggan.

Semakin lama, semakin jelas bahawa usaha pemulihan lapangan terbang dan syarikat penerbangan nasional tidak boleh dilihat sebagai dua inisiatif pengoptimuman yang berasingan. Daya saing jangka panjang kedua-duanya saling bergantung antara satu sama lain dan memerlukan transformasi yang diselaraskan merentasi aspek infrastruktur, operasi, ketersambungan, serta pembangunan destinasi.

Logik Hab: Mencipta Permintaan melalui Aliran

Pasaran domestik Malaysia, walaupun penting, tidak cukup besar untuk menyokong kekerapan dan kepelbagaian laluan jarak jauh yang diperlukan oleh hab penerbangan bertaraf dunia. Oleh itu, penyelesaiannya terletak pada pengagregatan dan peralihan kepada strategi hab dan jejari (hub-and-spoke) yang memanfaatkan kelebihan kedudukan geografi Malaysia.

Dengan memberi tumpuan kepada koridor transit, kami dapat mengagregatkan permintaan global ke KLIA. Jumlah penumpang transit ini menyediakan asas permintaan yang diperlukan untuk menjadikan laluan jarak jauh berdaya maju dari segi komersial. Dengan kami meningkatkan kekerapan penerbangan ke Sydney atau London, serta menyambung semula perkhidmatan jarak jauh ke Paris bagi memenuhi keperluan penumpang transit. Kami turut menjadikan laluan-laluan tersebut lebih mudah diakses dan menarik kepada pelancong perniagaan dan pelancong rekreasi bernilai tinggi yang meneruskan perjalanan terus dari satu destinasi ke destinasi yang lain.

Dalam model ini, ketersambungan menjadi satu kitaran pengukuhan kerana aliran penumpang transit yang lebih tinggi membolehkan lebih banyak laluan diperkenalkan, manakala pertambahan laluan pula meningkatkan daya tarikan KL sebagai hab penerbangan dan destinasi.

Penumpuan Portfolio: Daripada Transit kepada Destinasi

Ketika hab terus mengukuh, satu cabaran asas masih perlu ditangani. Meskipun Malaysia semakin cekap dalam mengendalikan pergerakan penumpang, negara perlu menjana nilai ekonomi yang mencukupi daripada aliran pergerakan tersebut. Untuk mencapai matlamat ini, Malaysia perlu berfungsi sebagai pusat transit yang cekap, dan juga sebagai sebuah destinasi pilihan.

Satu pemahaman penting telah terhasil melalui tonggak Ketersambungan yang lebih meluas di bawah Strategi Pelaburan Malaysia oleh Khazanah. Walaupun Kuala Lumpur berperanan sebagai pintu masuk utama negara, bandaraya ini masih belum sepenuhnya berjaya menterjemahkan ketibaan pelawat kepada keterlibatan yang lebih mendalam, tempoh lawatan yang lebih panjang, serta pulangan pelancongan yang lebih tinggi. Cabarannya bukanlah kekurangan sejarah atau identiti, tetapi bagaimana untuk mewujudkan hubungan yang lebih bermakna untuk para pelawat.

Ini merupakan titik permulaan kepada penyepaduan Dana Warisan ke dalam ekosistem ketersambungan yang lebih luas. Diumumkan oleh Kerajaan berikutan pembentangan Belanjawan 2023, dan diperkukuh menerusi pelbagai inisiatif. Dana Warisan mencerminkan usaha yang lebih menyeluruh untuk memelihara, serta mengaktifkan semula aset-aset warisan strategik sebagai sebahagian daripada agenda pembinaan negara dan pembaharuan bandar dalam jangka masa yang panjang.

Daripada melihat pemuliharaan warisan sebagai bersifat kendiri, Khazanah menganggapnya sebagai pemangkin kepada penjanaan semula bandar dan pewujudan tempat. Pendekatan ini bertujuan untuk meningkatkan daya tarikan Kuala Lumpur sebagai destinasi budaya dan pengalaman, serta mengukuhkan ekosistem penerbangan dan pelancongan yang lebih luas.

Selain itu, matlamatnya bukan sekadar memelihara bangunanbangunan lama, tetapi mengembalikannya kepada kehidupan awam yang aktif sebagai galeri, ruang sivik dan mercu budaya yang berupaya menghidupkan semula pusat bandar, sambil memperkukuh identiti dan kebanggaan nasional. Dalam konteks ini, aset warisan tidak dilihat sebagai monumen statik semata-mata, sebaliknya sebagai ruang hidup yang terus relevan, mudah diakses dan mampan dari segi ekonomi untuk jangka panjang.

Sambutan awal yang diterima adalah menggalakkan. Bangunan Sultan Abdul Samad telah menerima lebih 150,000 pengunjung, manakala Seri Negara mencatatkan lebih 16,000 pengunjung dalam tempoh beberapa bulan selepas dibuka semula. Angka-angka ini menunjukkan perubahan dalam corak tingkah laku pengunjung ke arah keterlibatan yang lebih mendalam, serta tempoh kunjungan yang lebih lama, dianggap antara pemacu utama kepada peningkatan hasil pelancongan.

Bagi Khazanah, pemuliharaan warisan bukan sekadar tentang nostalgia. Ia adalah perlindungan kenangan bersama, pengembalian makna untuk memastikan bahawa kisah, identiti, serta asas sivik negara terus kekal hidup, difahami dan diwarisi oleh generasi akan datang.

Hasil Sistemik: Bukti Ekosistem Mengukuh

Kesahihan usaha-usaha ini diukur sebaik-baiknya dengan pengembalian keyakinan dan pemulihan kesihatan komersial. Dengan mengatasi kelemahan struktur mengatasi menjana semula permintaan melalui pewujudan tempat, kami melihat tanda-tanda awal ekosistem ketersambungan yang mampu berkembang dengan sendirinya.

Bukti paling jelas dapat dilihat melalui pemulihan semula syarikat penerbangan nasional. Selepas sedekad menjalani proses penstrukturan semula yang menyeluruh, MAG mencatatkan keuntungan bersih positif yang pertama sejak tahun 2010. Pencapaian ini disokong oleh peningkatan trafik penumpang sebanyak 31% berbanding dengan tahun sebelumnya, sekali gus memulihkan kapasiti operasi kepada 90% daripada tahap pra-pandemik. Namun, penunjuk yang paling penting bagi pemulihan ini dapat dilihat melalui peningkatan pengalaman pelanggan.

Syarikat penerbangan ini mencapai pemulihan ketara dalam Prestasi Ketepatan Masa (OTP), iaitu satu metrik penting bagi model hab dan jejari dengan sambungan yang lancar menjadi produk utama. Kebolehpercayaan ini berserta dengan peningkatan sebanyak 12 mata dalam Skor Promoter Bersih (NPS) menunjukkan bahawa MAG berjaya memperkukuh kedudukan untuk menjana hasil yang diperlukan bagi memastikan kemampanan jangka panjang.

Kestabilan dalaman ini telah membangunkan keupayaan lapangan terbang untuk membina reputasi dan pengiktirafan pada peringkat antarabangsa. Momentum yang dicapai oleh MAHB turut dibuktikan disahkan oleh peningkatan pergerakan penumpang, serta kembalinya syarikat penerbangan global ke KLIA yang mengiktiraf nilai Malaysia sebagai pintu masuk utama.

Elemen terakhir strategi ini terletak pada penyepaduan fizikal kawasan teras warisan ke dalam perjalanan pelawat. Menjelang 2026, usaha ini diperkukuh melalui pembukaan Pejabat Pos Besar Lama yang merupakan sebahagian daripada kompleks Bangunan Sultan Abdul Samad, serta penyiapan jambatan pejalan kaki sepanjang 600 meter yang menghubungkan Taman Botani Perdana dengan Carcosa dan Seri Negara. Dilaksanakan menerusi kerjasama dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan sokongan Kementerian Kewangan (MoF), penambahbaikan ini akan terus memperkukuh kesepaduan dan daya tarikan kawasan tersebut.

Penutup: Mengekalkan Momentum Kitaran Positif

Keutamaan kini adalah untuk mengekalkan dan memperkukuh momentum ini. Demi mencapai matlamat ini, disiplin dalam pelaksanaan perlu terus dipertahankan melalui perluasan ketersambungan jarak jauh, pengekalan kebolehpercayaan operasi, serta pelaksanaan penaiktarafan infrastruktur yang selaras dan tepat pada masanya.

Pada masa yang sama, evolusi Kuala Lumpur sebagai sebuah destinasi perlu terus menyokong Tahun Melawat Malaysia 2026 bersama dengan usaha mengekalkan penyelarasan yang berterusan merentasi ekosistem. Ketersambungan bukanlah suatu pencapaian sekali sahaja, sebaliknya merupakan satu proses berterusan penyelarasan dan penyesuaian.

Kami mengambil kira akan kepentingan untuk mengiktiraf bahawa kemajuan yang dicapai setakat ini hanyalah permulaan. Usaha membina semula dan memperkukuh ekosistem ketersambungan negara sememangnya merupakan satu proses yang kompleks dan jangka panjang. Ia memerlukan komitmen yang berterusan, penyelarasan yang teliti, serta ketahanan untuk melalui pelbagai kitaran. Perjalanan ini akan mengambil masa yang panjang dan, pada waktu tertentu, mungkin mencabar. Namun, kami akan melaluinya dengan penuh keyakinan. Tanda-tanda awal penyelarasan merentas infrastruktur, pengendali dan destinasi memberikan keyakinan bahawa kami berada di landasan yang betul. Pengajaran yang lebih besar daripada usaha ini ialah ketersambungan tidak dapat diperkukuh melalui intervensi yang bersifat terasing. Lapangan terbang, syarikat penerbangan, aset pelancongan dan pengalaman bandar perlu berkembang secara bersepadu sebagai sebahagian daripada satu ekosistem yang saling melengkapi.

Apabila komponen-komponen ini adalah selaras, ketersambungan menjadi lebih daripada sekadar infrastruktur mobiliti. Ia menjadi pemangkin kepada pertumbuhan pelancongan, pelaburan, aliran bakat, peningkatan kerencaman ekonomi, serta daya saing negara.

Bagi Khazanah, ini mencerminkan intipati peranan kami sebagai pelabur untuk berhala tuju yang memperkukuh ekosistem strategik bukan sahaja untuk menjana nilai yang mampan, tetapi juga untuk memajukan Malaysia serta mewujudkan nilai jangka panjang untuk Malaysia dan rakyatnya.

Sisipan 1: Memulihkan Warisan, Merungkai Semula Kenangan

Oleh Selvendran Katheerayson, Ketua Aset Nyata

Apa yang Dipulihkan

Seri Negara, Bangunan Sultan Abdul Samad (BSAS) dan Pejabat Pos Besar Lama merupakan tiga aset warisan yang mempunyai kepentingan nasional di bawah Dana Warisan.

Mengapa Ia Rumit

Kesemua bangunan ini diwartakan sebagai tapak warisan, dan menjadikan usaha pemuliharaan jauh lebih kompleks dan memerlukan tahap kepekaan yang tinggi. Setiap intervensi perlu dilaksanakan dengan teliti bagi mengekalkan integriti pemuliharaan sambil mengimbangi keperluan keselamatan, kebolehcapaian, kegunaan awam, serta keperluan operasi jangka panjang.

Pemulihan Seri Negara memberi penekanan kepada pemeliharaan ciri seni bina asalnya yang asli, serta meningkatkan aspek keselamatan, serta dan kemudahan awam. Bangunan Sultan Abdul Samad pula dipulihkan dengan tumpuan kepada pemeliharaan cirinya sebagai Bangunan Warisan Kebangsaan, serta menambah baik pengalaman pengunjung.

Pejabat Pos Besar Lama yang merupakan sebahagian daripada kompleks Bangunan Sultan Abdul Samad turut dipulihara dan disesuaikan dengan teliti untuk kegunaan baharu. Dibuka semula kepada orang ramai pada Mei 2026, bangunan bersejarah ini kini memulakan lembaran baharu sebagai destinasi awam dan warisan yang diperbaharu untuk dinikmati oleh semua pengunjung.

Masa yang Diambil

Seri Negara:
10 bulan

Bangunan Sultan Abdul Samad:
11 bulan

Pejabat Pos Besar Lama:
11 bulan  

Pihak Yang Terlibat

Usaha ini dilaksanakan di bawah inisiatif Warisan KL yang lebih besar, iaitu sebuah inisiatif pembaharuan bandar berpandukan warisan dan budaya yang menghimpunkan agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), rakan sektor swasta serta komuniti setempat. Antara pihak berkepentingan utama daripada sektor kerajaan yang memainkan peranan penting dalam memastikan kejayaan usaha pemuliharaan dan pembukaan semula bangunan-bangunan ini termasuk Kementerian Kewangan, Jabatan Wilayah Persekutuan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan, serta Jabatan Warisan Negara.

Perubahan yang Dicapai

Bangunan-bangunan yang dipulihkan ini tidak lagi menjadi monumen yang statik. Seri Negara kini menempatkan galeri, serta penawaran makanan dan minuman (F&B), manakala Bangunan Sultan Abdul Samad menawarkan ruang pameran, galeri, pusat pelawat, ruang runcit dan kraf, lokasi acara, serta pelbagai pilihan F&B. Pejabat Pos Besar Lama pula menempatkan pelbagai premis F&B tempatan yang unik dengan penawaran yang meraikan warisan kulinari dan sejarah Malaysia.

Mengapa Ia Penting

Dana Warisan meletakkan usaha pemuliharaan sebagai sebahagian daripada agenda ketersambungan budaya yang lebih luas, menghubungkan pemulihan aset warisan dengan akses awam, pengisian kandungan budaya, pengaktifan pelancongan dan pembaharuan bandar. Dari sudut praktikal, pendekatan ini mengubah aset warisan menjadi ruang awam yang hidup, sekali gus memperkayakan pengalaman pengunjung di Kuala Lumpur dan mengukuhkan peranan bandar raya ini sebagai destinasi budaya.

Sisipan 2: Mengemudi Dalam Ketidaktentuan

Oleh Azmir Zain, Ketua Kesalinghubungan (Syarikat Penerbangan)

MAG Terus Mengukuhkan Kedudukannya

Pada tahun 2025, MAG mencatatkan Pendapatan Sebelum Faedah, Cukai, Susut Nilai dan Pelunasan (EBITDA) sebanyak RM1.6 bilion dan keuntungan bersih selepas cukai berjumlah RM137 juta, disokong oleh hasil sebanyak RM14.7 bilion. MAG turut merekodkan peningkatan 16% untuk tempat duduk tersedia bagi setiap kilometer (ASK), serta faktor muatan penumpang sebanyak 81%. Prestasi Ketepatan Masa (OTP) juga meningkat kepada 81% menjelang akhir tahun, mencerminkan disiplin operasi yang lebih kukuh meskipun jumlah penerbangan terus meningkat.

Persekitaran Operasi 2026

MAG memasuki tempoh ini daripada kedudukan operasi dan kewangan yang lebih stabil. Namun begitu, ketegangan geopolitik telah mengganggu pasaran tenaga dan mendorong kos bahan api pesawat meningkat dengan ketara, sekali gus menyebabkan ketidakpastian dalam industri penerbangan global. MAG telah memaklumkan bahawa kenaikan harga bahan api, premium insurans, pengalihan laluan penerbangan, serta pembatalan penerbangan berpotensi memberi kesan kepada prestasi kewangannya pada tahun 2026, meskipun permintaan bagi laluan-laluan utama jarak jauh kekal kukuh.

Mengapa Ia Penting kepada MAG

Bahan api merupakan antara komponen kos terbesar bagi sesebuah syarikat penerbangan, termasuk MAG. Oleh itu, pergerakan harga bahan api boleh memberi kesan yang ketara kepada prestasi kewangan MAG. Walau bagaimanapun, Kumpulan MAG telah melaksanakan lindung nilai bagi sebahagian besar daripada keperluan bahan api untuk tahun 2026, sekali gus mengurangkan kesan kenaikan kos yang berpunca daripada konflik di Timur Tengah.

Tumpuan Utama dari Perspektif Operasi

Keutamaan MAG pada tahun 2026 dijangka tertumpu kepada pertumbuhan kapasiti yang berdisiplin, daya tahan rangkaian laluan, kecekapan armada pesawat dan pengalaman pelanggan, serta pemantauan aliran tunainya. Kumpulan juga telah menyambung semula perkhidmatan ke Paris dan Brisbane, meningkatkan kekerapan penerbangan ke pasaran-pasaran utama, serta meneruskan program pembaharuan armada pesawatnya, termasuk penerimaan pesawat A330neo dan komitmen untuk pemerolehan pesawat badan sempit yang baharu.

Sisipan 3: Membina Semula Pintu Utama Negara untuk Kitaran Seterusnya

Peralihan Pasca Penswastaan

Penswastaan MAHB pada awal tahun 2025 menandakan peralihan daripada rentak operasi syarikat tersenarai kepada platform transformasi jangka panjang. Perubahan yang paling ketara ialah penyelarasan yang lebih kukuh antara model operasi, disiplin pelaburan dan aspirasi untuk mengangkat lapangan terbang Malaysia ke taraf bertaraf dunia. Walaupun masih di peringkat awal, perkembangan ini telah membolehkan MAHB mengamalkan pendekatan yang lebih berorientasikan komersial, serta dipacu oleh kerjasama strategik dengan syarikat penerbangan, agensi berkaitan dan pihak berkepentingan tempatan.

Kejayaan Pelaksanaan Awal

Kemajuan awal MAHB didorong oleh pelaksanaan beberapa inisiatif yang bersasar dan praktikal dengan tumpuan kepada pembaikan pengalaman penumpang, peningkatan kecekapan operasi, serta penyampaian modal yang berdisiplin. Antara inisiatif operasi utama yang dilaksanakan ialah pengenalan Sistem Pengurusan Akses Kenderaan di KLIA Terminal 1 bagi mengurangkan kesesakan di kawasan pelepasan dan pengambilan penumpang, serta pemasangan kiosk daftar masuk layan diri di Lapangan Terbang Pulau Pinang, Kuching dan Kota Kinabalu bagi melancarkan aliran pergerakan penumpang. Pada masa yang sama, MAHB turut memperkenalkan strategi pelaburan modal yang diperbaharu bagi menaik taraf infrastruktur yang sudah usang, serta menyokong pengembangan kapasiti di seluruh rangkaiannya. Ini termasuk projek perluasan Lapangan Terbang Ipoh yang telah meningkatkan kapasiti pengendalian penumpang sebanyak 40%.

Sistem Lapangan Terbang Lebih Kukuh

Pada tahun 2025, Malaysia Airports mengendalikan sebanyak 104.4 juta penumpang di seluruh rangkaian lapangan terbangnya di Malaysia, iaitu meningkat 11.2% berbanding tahun sebelumnya. KLIA pula merekodkan 63.3 juta penumpang, meningkat 10.8% berbanding tahun 2024, manakala kedudukannya dalam penarafan Skytrax bertambah baik kepada tangga ke-65 pada tahun 2025 daripada tangga ke-71 pada tahun 2024. Penunjuk-penunjuk ini mencerminkan perancangan operasi yang lebih mantap serta penyelarasan yang lebih kukuh dengan pihak berkepentingan seperti syarikat penerbangan dan agensi kerajaan.

Lensa Kemampanan: Penggunaan Tenaga Boleh Diperbaharui

Transformasi MAHB memperluas kepada aspek tenaga. Pengendali lapangan terbang itu sedang membangunkan projek solar berskala besar di kawasan seluas kira-kira 100 ekar berhampiran KLIA, dengan sasaran kapasiti penjanaan sebanyak 30MW bagi menyokong keperluan tenaga KLIA. Fasa kedua projek tersebut turut dirancang di kawasan yang berhampiran, manakala pemasangan sistem solar bumbung sedang dipertimbangkan untuk lapangan-lapangan terbang serantau yang lebih kecil di seluruh negara.

Pandangan 2026: Cabaran dan Peluang

Prospek bagi tahun 2026 dibentuk oleh pelbagai cabaran luaran, terutamanya tekanan daripada kenaikan harga bahan api, serta perkembangan geopolitik yang berubah dan memberi kesan kepada ruang udara serantau. Faktor-faktor ini telah mendorong syarikat penerbangan untuk menilai semula kapasiti dan penempatan rangkaian laluan mereka. Di sebalik cabaran tersebut, jumlah penumpang antarabangsa kekal berdaya tahan, sekali gus mencerminkan kekuatan asas KLIA sebagai hab penerbangan serantau. MAHB terus memberi tumpuan kepada usaha mengekalkan ketersambungan, merebut peluang-peluang baharu yang muncul, serta menyokong rakan-rakan syarikat penerbangan dalam memperkukuh momentum pertumbuhan mereka.

Menempatkan Semula KLIA dalam Corak Perjalanan yang Berubah

Gangguan semasa turut mengubah corak pergerakan penumpang antara Asia, Timur Tengah dan Eropah. Memandangkan sesetengah pengembara kini memilih untuk mengelakkan laluan transit melalui Timur Tengah, MAHB melihat peluang untuk menempatkan semula KLIA sebagai hab transit alternatif bagi penumpang yang melakukan perjalanan antara Asia dengan Eropah. Bagi merealisasikan peluang ini, MAHB sedang memperkukuh daya tarikan KLIA sebagai hab penerbangan serantau melalui usaha menarik syarikat penerbangan secara lebih bersasar, memperluas pembangunan rangkaian laluan, serta melaksanakan penglibatan proaktif dengan syarikat penerbangan asing bagi merebut kapasiti penerbangan antarabangsa yang beralih daripada pasaran lain.

Persediaan untuk Tahun Melawat Malaysia 2026

MAHB sedang memperkukuh kerjasama merentasi ekosistem penerbangan dan pelancongan untuk menjayakanTahun Melawat Malaysia 2026. Antara hasil awal yang telah dicapai ialah kemasukan syarikat penerbangan baharu ke KLIA, termasuk Chongqing Airlines yang menghubungkan Kuala Lumpur dengan Chongqing, serta Air Algerie yang menyediakan hubungan terus dengan Algeria, sekali gus memperluas ketersambungan KLIA dengan benua Afrika.

Usaha untuk mempertingkatkan aliran penumpang turut dipergiat melalui pelaksanaan inisiatif seperti program Laluan Hijau di KLIA Terminal 1, yang diperkenalkan bagi mempercepat proses pelepasan dan mengurangkan kesesakan. Inisiatif ini dibangunkan melalui kerjasama rapat dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS). Pada masa yang sama, MAHB terus meningkatkan pengalaman keseluruhan penumpang melalui pelbagai inisiatif penambahbaikan perkhidmatan, termasuk pelancaran RIMBA di KLIA Terminal 1, iaitu ruang istirahat berinspirasikan alam semula jadi yang direka untuk keselesaan penumpang.

Mengapa Ia Penting

Bagi Malaysia, sistem lapangan terbang yang lebih kukuh bukan sekadar mengenai peningkatan jumlah penumpang. Ia menyediakan asas operasi yang penting untuk menyokong aliran pelancongan, perjalanan perniagaan, keyakinan syarikat penerbangan, serta ketersambungan negara dalam jangka panjang. Penetapan semula hala tuju pasca penswastaan ini memberikan MAHB landasan untuk beralih daripada penambahbaikan secara berperingkat kepada pembangunan rangkaian pintu masuk penerbangan yang lebih terselaras, berskala dan berdaya tahan.