Modal Bermatlamat

Picture of Oleh Dato' Mohamed Nasri Sallehuddin, Ketua Pegawai Korporat & Penasihat Undang-undang
Oleh Dato' Mohamed Nasri Sallehuddin, Ketua Pegawai Korporat & Penasihat Undang-undang

Membina Kapasiti dan Komuniti Berdaya Maju

Melabur dalam Daya Tahan Sosial

Dari sudut tradisional sebuah dana kekayaan berdaulat, kejayaan diukur berdasarkan ketinggian “siling”. Ia merangkumi alfa yang dijana, industri yang diganggu dan pulangan komersial yang diperoleh. Namun di Khazanah, kami mengakui bahawa keutuhan struktur ekonomi sesebuah negara turut bergantung pada kekuatan “lantai”nya. Sebagai sebahagian daripada rangka kerja Ekonomi MADANI, komitmen kami untuk membina Komuniti Berdaya Tahan bukan sekadar kerja kebajikan. Ia merupakan komitmen terhadap jaringan sosial yang membezakan kami daripada entiti komersial semata-mata, sekali gus memastikan mandat kami kekal berpusatkan manusia dan berpaksikan kemajuan Malaysia serta rakyatnya.

Inilah yang memberi jiwa kepada Khazanah.

Modal Sosial sebagai Penunjuk Awal

Bagi pemegang amanah jangka panjang, pemecahan sosial merupakan risiko sistemik. Ketidaksamaan yang telah berakar umbi, kemerosotan bandar dan jurang kerentanan dalam komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan bukan sekadar isu sosial. Semua ini merupakan pergeseran ekonomi yang boleh menghalang produktiviti negara dan menggugat kestabilan persekitaran tempat aset komersial kami beroperasi. Dengan melabur dalam modal sosial, kami mengurangkan risiko jangka panjang ini. Kami percaya bahawa komuniti yang berdaya tahan ialah lindung nilai terbaik terhadap ketidaktentuan ekonomi.

Bagi melaksanakan mandat ini dengan tepat, Khazanah berperanan sebagai hab yang menyediakan penjajaran strategik, kestabilan modal jangka panjang dan mandat beretika yang menghubungkan hasil sosial dengan kemajuan negara. Menyokong kami ialah badan pelaksanaan, yang merangkumi Yayasan Hasanah, Think City, Yayasan Khazanah dan Institut Penyelidikan Khazanah (KRI). Kesemuanya diberi autonomi untuk memacu impak di peringkat akar umbi.

Struktur ini memastikan bahawa ketika portfolio komersial kami mengejar matlamat “Menaikkan Siling”, ekosistem sosial kami turut diperkasakan secara profesional untuk “Menaikkan Lantai”, bagi membina Malaysia yang lebih seimbang dan berdaya tahan.

Mengapa Dasar Semata-mata Tidak Mencukupi

Walaupun dasar-dasar kerajaan di peringkat nasional bertujuan untuk “Menaikkan Lantai”, sering wujud jurang yang ketara antara hasrat dasar dan pelaksanaannya di peringkat akar umbi. Intervensi tradisional yang bersifat dari atas ke bawah (top-down) lazimnya tidak mempunyai kepakaran khusus dan setempat yang diperlukan untuk mentransformasikan persekitaran sosial yang kompleks. Sama ada kemerosotan fizikal dan sosial perumahan awam atau Projek Perumahan Rakyat (PPR), mahupun ketidakpadanan berterusan antara kemahiran graduan dengan keperluan industri, semua ini merupakan masalah pelbagai dimensi yang tidak dapat diselesaikan dengan modal semata-mata. Sebaliknya, ia memerlukan pendekatan yang menggabungkan pemikiran dan pelaksanaan untuk menangani punca-punca asas yang menghalang kemajuan.

Keperluan terhadap Logik Institusi

Bagi Khazanah, membina komuniti berdaya maju memerlukan perubahan mentaliti “beri geran dan lupa”. Ia memerlukan logik institusi yang menangani cabaran sosial dengan ketegasan yang sama seperti komersial. Kami mengenal pasti bahawa untuk mewujudkan impak yang berkekalan, tiga cabaran utama perlu ditangani:

Keterpecahan Dasar

Keperluan terhadap penyelidikan berasaskan bukti untuk memaklumkan reformasi fiskal dan sosial yang mampan.

Kemerosotan Bandar

Keperluan untuk melaksanakan pembaharuan semula bandar yang diterajui warisan, serta berdaya tahan terhadap perubahan iklim bagi mengembalikan kebanggaan dan nilai ekonomi kepada bandar-bandar.

Ketidakpadanan Modal Insan

Keperluan terhadap saluran bakat yang bukan sahaja memiliki kelayakan akademik, tetapi juga bersedia untuk industri dan berpaksikan nilai.

Mekanisme Impak: Pelaksanaan Berpandukan Ketepatan

Bagi menangani jurang kerentanan, Khazanah tidak bergantung kepada satu badan pentadbiran tunggal dan besar. Sebaliknya, kami mengatur sebuah ekosistem sosial khusus yang membolehkan punca sesuatu isu ditangani melalui rangka kerja yang terselaras.

Pertama, sebelum bertindak, perlu ada pemahaman. Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) menyediakan asas intelektual bagi intervensi sosial kami. Pada tahun 2025, KRI beralih melangkaui pengenalpastian jurang kepada reka bentuk rangka kerja mampan bagi kemampuan memiliki rumah, perlindungan sosial dan dasar perindustrian. Dengan menganalisis evolusi hubungan perindustrian dan keperluan reformasi hasil, KRI memastikan pelaburan sosial Khazanah bertunjangkan realiti berpacukan data, bukan keperluan anekdot.

Bertitik tolak daripada itu, Yayasan Hasanah sebagai badan pemberian geran utama kami menterjemahkan penyelidikan dasar kepada impak pada peringkat akar umbi. Beralih daripada kitaran projek jangka pendek, Hasanah mengguna pakai pendekatan berasaskan ekosistem dengan melabur dalam sistem dan rakyat yang menyokong komuniti. Sehingga kini, Hasanah telah menyampaikan impak kepada lebih empat juta orang melalui 1,100 projek dengan tumpuan kepada hasil jangka panjang di PPR sekitar Lembah Klang. Di sini, tumpuannya adalah untuk membina kepimpinan akar umbi dan pemilikan komuniti, sekali gus mengubah perumahan awam menjadi kejiranan yang berdaya maju dan berdikari.

Komuniti berdaya maju juga memerlukan persekitaran fizikal yang berdaya tahan. Think City bertindak sebagai arkitek bandar kami, dengan tumpuan kepada penjanaan semula berpandukan warisan dan daya tahan iklim. Dengan memastikan bandar berkembang berdasarkan identiti budaya masing-masing, bukan acuan luar yang diimport, Think City mengembalikan nilai ekonomi dan kebanggaan sosial kepada pusat bandar. Usahanya di Lembah Klang dan George Town menunjukkan bahawa bandar yang boleh dihuni dan inklusif terhasil daripada tindakan berasaskan tempat dan penyelesaian berasaskan alam semula jadi.

Bagi menyatukan semua ini dalam satu rangka tindakan, kami melihat modal insan sebagai kelas aset utama bagi daya tahan negara. Di sinilah Yayasan Khazanah memberi tumpuan kepada “siling”, dengan memupuk saluran pemimpin masa hadapan yang berprestij melalui pembangunan kepimpinan dan biasiswa ke institusi global terkemuka.

Sementara itu, K-Youth memberi tumpuan kepada “lantai”, dengan komitmen pada tahun 2025 untuk melengkapkan 11,000 belia dengan kemahiran berpermintaan tinggi dalam sektor seperti semikonduktor dan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih atau MRO. Dengan kadar kejayaan penempatan pekerjaan sebanyak 85% bagi laluan utamanya, K-Youth bukan sekadar melatih peserta, malah merapatkan jurang antara golongan yang kurang mendapat peluang dengan tenaga kerja bernilai tinggi.

Memandang ke Hadapan: Daripada Output kepada Kemampanan

Bagi sebuah dana kekayaan berdaulat, ukuran kejayaan utama dalam bidang sosial bukanlah jumlah modal yang disalurkan, tetapi ketahanan dan kemampanan sistem yang ditinggalkan. Matlamat kami adalah untuk memastikan setiap intervensi, sama ada biasiswa, taman bandar atau cadangan dasar, dirancang untuk mencapai kemampanan institusi. Kita perlu bergerak melangkaui kitaran projek kepada model pengawasan jangka panjang yang memperkasa komuniti untuk mengekalkan dan mengembangkan kemajuan yang telah dicapai.

Kemuncak usaha kami ialah Malaysia yang pada asasnya lebih bersedia untuk menghadapi masa hadapan. Akhirnya, usaha ini memastikan Khazanah kekal sebagai institusi yang hidup dengan kompas moral yang jelas. Kami bukan sekadar menjana pulangan pelaburan, tetapi juga pemegang amanah yang komited kepada rakyat Malaysia. Dengan menggabungkan disiplin komersial yang teguh dengan pendekatan yang berteraskan rakyat, kami memastikan bahawa dalam usaha Memajukan Malaysia, tiada siapa yang tercicir daripada arus kemajuan negara.

Sisipan 1: Membina Sistem yang Dapat Dikekalkan oleh Komuniti

Yayasan Hasanah ialah yayasan berasaskan impak Khazanah Nasional Berhad yang memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh sistem sosial dan komuniti yang membolehkan pembangunan inklusif. Ditubuhkan pada tahun 2015, Yayasan Hasanah bukan sekadar organisasi pemberi geran. Ia berperanan sebagai penyelaras dan pembina ekosistem, menggabungkan pendanaan dengan pembinaan kapasiti, penyelarasan pihak berkepentingan dan sokongan pelaksanaan bagi membolehkan komuniti, serta rakan kongsi mengekalkan hasil dari semasa ke semasa. Sehingga kini, Yayasan Hasanah telah memberi manfaat kepada kehidupan lebih empat juta orang di Malaysia, merentas semua lapisan masyarakat.

Inisiatif

Ekosistem Komuniti Pulau Omadal, Sabah

Impak

Mewujudkan laluan pembelajaran alternatif, penjagaan kesihatan berasaskan komuniti dan sumber pendapatan seperti penanaman rumpai laut dalam komuniti yang sebahagian besarnya tidak berdokumen. Inisiatif ini meningkatkan akses kepada perkhidmatan asas dan membolehkan belia tempatan mengambil peranan sebagai guru, serta pekerja kesihatan, sekali gus memperkukuh keupayaan dalaman dan mengurangkan kebergantungan kepada pihak luar.

Inisiatif

Pemulihan Pesisir Tanjung Kepah, Perak

Impak

Membina semula ekosistem bakau melalui intervensi berpandukan sains dan penyertaan komuniti, meningkatkan kadar kelangsungan hidup kepada kira-kira 70%, serta memulihkan perlindungan pesisir. Kembalinya hidupan marin mula menstabilkan sumber pendapatan nelayan tempatan.

Inisiatif

Integrasi Semula Sosial melalui Pekerjaan, Kuantan

Impak

Mewujudkan laluan pekerjaan berstruktur untuk individu yang sedang pulih daripada ketagihan melalui model medan selera yang dikendalikan oleh komuniti. Para peserta memperoleh pendapatan yang stabil dengan sebahagian daripada mereka mendapat keyakinan untuk memulakan perniagaan makanan dan minuman sendiri, manakala berinteraksi dengan orang awam membantu membina semula kepercayaan dan penerimaan sosial.

Inisiatif

Program Pendidikan CELIK, Tawau

Impak

Meningkatkan kehadiran pelajar dan hasil pembelajaran dengan menggabungkan pembelajaran akademik bersama sesi latihan bola sepak. Program ini meningkatkan penyertaan dalam bilik darjah, serta memperkukuh disiplin dan pembangunan sosial dalam kalangan kanak-kanak berisiko.

Sisipan 2: Membangunkan Bakat untuk Kepimpinan Negara

Yayasan Khazanah bertanggungjawab untuk mengenal pasti dan membangunkan rakyat Malaysia yang berpotensi tinggi melalui program biasiswa dan kepimpinan yang berstruktur. Ditubuhkan pada tahun 2006, peranannya melangkaui pendanaan pendidikan kepada pembinaan saluran pemimpin masa hadapan yang dilengkapi dengan kemahiran, pendedahan dan nilai yang diperlukan untuk menyumbang merentas sektor-sektor penting bagi pembangunan jangka panjang Malaysia.

Inisiatif

Laluan Biasiswa Global dan Domestik

Impak

Menyokong lebih 1,700 pemegang biasiswa merentas institusi tempatan dan antarabangsa, sekali gus membuka akses kepada pendidikan berkualiti tinggi sambil membina kelompok bakat yang pelbagai dan bersedia untuk memasuki sektor utama, serta memegang peranan kepimpinan.

Inisiatif

Pembangunan Kepimpinan dan Pendedahan Industri

Impak

Menggabungkan tajaan akademik dengan latihan industri, pementoran dan penempatan di syarikat berkaitan kerajaan, serta organisasi rakan kongsi. Pendekatan ini memperkukuh kesediaan di tempat kerja, memudahkan peralihan yang lebih berkesan kepada peranan yang sejajar dengan keutamaan negara dan meningkatkan kebolehpasaran secara keseluruhan.

Inisiatif

Kesihatan Awam dan Sumbangan Dasar

Impak

Para pemegang biasiswa telah menterjemahkan latihan akademik kepada impak dasar dan institusi. Dalam satu kes, penyelidikan dalam bidang perubatan ketagihan menyumbang kepada pembangunan dasar dadah kebangsaan, sekali gus menunjukkan bagaimana kepakaran khusus dapat memberi maklumat kepada sistem awam.

Inisiatif

Penglibatan Komuniti dan Sosial

Impak

Mengintegrasikan kesukarelawanan dan pembelajaran berasaskan komuniti ke dalam perjalanan pemegang biasiswa, memperkukuh kesedaran tentang cabaran sosial dan menggalakkan penyertaan dalam inisiatif yang melangkaui kemajuan kerjaya individu.

“Biasiswa dan pengalaman saya di Cambridge memberi saya kemahiran, pendedahan dan keyakinan untuk mengejar peluang di luar bidang asal saya. Akhirnya, pengalaman itu membawa saya daripada industri automotif kepada tenaga bersih, dan kini saya menyumbang kepada sektor tenaga boleh baharu di Gentari.”

Syed Malek Faisal Bin Syed Mohamad
Ketua Tenaga Boleh Baharu Malaysia, Gentari

“Penyelidikan saya dalam bidang perubatan ketagihan bermula sebagai usaha akademik, tetapi akhirnya menyumbang kepada perbincangan dasar dadah kebangsaan Malaysia. Ia menunjukkan kepada saya bagaimana kepakaran khusus boleh melangkaui dunia akademik dan membantu membentuk sistem dan dasar awam.”

Dr. Rashidi Mohamed bin Pakri Mohamed
Pakar Perunding Perubatan Keluarga, Pensyarah Kanan di UKM dan Ketua Pegawai Eksekutif, Optima Wellness and Skin Center

“Nilai biasiswa bukan sahaja terletak pada destinasi pemegang biasiswanya, tetapi juga pada bagaimana biasiswa itu memperkukuh mereka yang sudah komited untuk membawa perubahan. Melangkaui peranan profesional, saya terus membimbing pelajar kurang berkemampuan dan menyokong inisiatif pendidikan orang pelarian kerana saya percaya akses kepada peluang juga harus diperluas kepada orang lain.”

Chow Shenn Kuan
Pengurus Kanan Advokasi Pendidikan, Yayasan Hasanah

Sisipan 3: Memaklumkan Dasar Melalui Bukti

Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) ditubuhkan pada tahun 2014 sebagai institut penyelidikan dasar bebas yang memberi tumpuan kepada usaha memajukan penyelesaian berasaskan bukti terhadap cabaran sosioekonomi berstruktur Malaysia. Peranannya adalah untuk memperkukuh pemikiran dasar, wacana awam dan pembuatan keputusan institusi melalui penyelidikan, persidangan dan advokasi.

Inisiatif

Reformasi Perumahan – Model Bina Kemudian Jual

Impak

Menyumbang kepada perbincangan dasar mengenai peralihan risiko pembangunan daripada pembeli rumah kepada pemaju, sekali gus meningkatkan akauntabiliti dan perlindungan pengguna. Model ini semakin mendapat perhatian dalam pertimbangan reformasi perumahan negara.

Inisiatif

Penyelidikan Dasar Pasaran Buruh dan Gaji

Impak

Memaklumkan pembangunan dasar di peringkat nasional melalui sumbangan kepada Majlis Perundingan Gaji Negara, Dasar Sumber Manusia Negara, garis panduan gaji graduan dan rangka kerja dasar buruh yang lebih luas, sekali gus membentuk cara cabaran struktur gaji dan tenaga kerja ditangani.

Inisiatif

Kajian Tadbir Urus Kecerdasan Buatan

Impak

Menghasilkan penyelidikan dan menyelaraskan perbincangan pelbagai pihak berkepentingan yang melibatkan pemain sektor awam dan swasta. Usaha ini memperkukuh kesediaan dasar dan meletakkan KRI sebagai titik rujukan dalam wacana tadbir urus AI di peringkat negara dan serantau.

Inisiatif

Penyelidikan Pengangkutan Awam dan Mobiliti Bandar

Impak

Mempengaruhi cara kebolehpercayaan pengangkutan dirangka dalam dasar dan wacana awam dengan mengalihkan tumpuan daripada sistem rel dan bas semata-mata kepada keseluruhan perjalanan komuter. Ini termasuk ketersambungan awal dan akhir, pengalaman di perhentian bas, serta pertimbangan lebih luas berkaitan dengan integrasi rangkaian dan kualiti perkhidmatan.

Sisipan 4: Menjana Semula Bandar Melalui Tindakan Diterjui Komuniti

Bermula pada tahun 2009, Think City ialah sebuah badan pemikir dan pelaksana yang memberi tumpuan kepada usaha menjadikan bandar boleh dihuni, mampan dan inklusif. Beroperasi merentas reka bentuk bandar, pembentukan tempat, pemuliharaan warisan, daya tahan iklim dan pembangunan komuniti, Think City bekerjasama dengan komuniti, kerajaan dan rakan kongsi untuk melaksanakan intervensi berasaskan tempat yang mengintegrasikan hasil fizikal, ekonomi dan sosial.

Inisiatif

Penjanaan Semula Kampung Attap, Kuala Lumpur

Impak

Menghidupkan semula kawasan bersejarah yang semakin merosot melalui penggunasuaian, geran kecil dan pengaktifan yang diterajui oleh komuniti. Melebihi 30 penyewa kreatif memulakan operasi bersama penduduk sedia ada, memulihkan aktiviti ekonomi sambil mengekalkan watak tempatan.

Inisiatif

Program Kita-untuk-Kita (K2K), PPR Lembah Klang

Impak

Mentransformasikan ruang bersama di perumahan awam kepada hab yang diurus oleh komuniti. Penduduk menggerakkan sumber melangkaui geran awal, menghasilkan lebih 60 projek yang diterajui oleh komuniti, dan pemilikan tempatan yang lebih kukuh terhadap pembangunan kejiranan.

Inisiatif

Program Pemuliharaan Warisan George Town

Impak

Memulihkan bangunan warisan dan menyokong perniagaan tempatan melalui pendekatan berasaskan geran yang berjaya menarik pelaburan bersama. Program ini memperkukuh ekonomi tempatan sambil memelihara jalinan budaya bandar.

Inisiatif

Program Penyesuaian Iklim Berasaskan Alam Semula Jadi Pulau Pinang

Impak

Menubuhkan program rintis nasional Malaysia bagi penyesuaian iklim bandar. Sepuluh projek penghijauan bandar telah membawa komuniti ke dalam tindakan iklim bersama, manakala program selari membina kapasiti dalam kalangan wanita, belia dan pihak berkuasa tempatan untuk menerajui daya tahan jangka panjang. Pendekatan ini kini sedang disesuaikan di bandar-bandar lain di Malaysia, termasuk Batu Pahat.

Sisipan 5: Merapatkan Kemahiran dengan Pekerjaan

K-Youth ialah program perdana Khazanah untuk memperkukuh kebolehpasaran belia dengan tumpuan kepada usaha melengkapkan anak muda Malaysia dengan kemahiran berkaitan dengan industri dan laluan kepada pekerjaan yang mampan. Dirancang sebagai inisiatif pelbagai laluan, program ini menumpukan perhatian kepada pelbagai peringkat dalam saluran bakat, daripada persediaan awal hingga kemasukan ke alam pekerjaan sambil bekerjasama rapat dengan rakan industri untuk menyelaraskan latihan dengan permintaan pekerjaan sebenar.

Inisiatif

Laluan A (Mempercepat) – Latihan Kemahiran Sejajar Industri

Impak

Melatih graduan dalam sektor berpermintaan tinggi seperti semikonduktor dan MRO dengan kira-kira 85% memperoleh pekerjaan selepas tamat latihan, sekali gus menambah baik peralihan daripada pendidikan kepada alam pekerjaan.

“Satu kisah yang kekal dalam ingatan kami ialah seorang wanita muda yang menyertai program mengecat pesawat selepas berdepan kesukaran mencari peluang dalam industri ini. Beliau merupakan satu-satunya peserta wanita dalam kumpulannya. Hari ini, beliau bekerja dengan bangga sebagai pengecat pesawat. Melihat kehidupan berubah dengan begitu nyata menjadi peringatan kuat tentang mengapa program seperti K-Youth penting.”

Seri Nurfahana
Rakan Program, Penerbangan (Jentera & Peralatan)

Inisiatif

Laluan B (Memupuk) – Pembangunan Bakat Awal

Impak

Melibatkan pelajar sebelum tamat pengajian untuk membina kemahiran teknikal dan insaniah, memperkukuh kesediaan untuk bekerja, serta mengurangkan jurang antara latihan akademik dengan jangkaan industri.

“Sebelum menyertai program ini, saya kurang berdisiplin dan sering berasa tidak pasti tentang masa hadapan saya. Lama-kelamaan, saya menjadi lebih fokus, bertanggungjawab dan lebih jelas tentang apa yang ingin saya capai. Pengalaman itu mengubah pendekatan kerja dan kehidupan saya.”

Muhammad Haikal bin Aslinoor
Graduan SKM Tahap 2, Laluan Semikonduktor

Inisiatif

Laluan C (Mengoptimumkan) – Peningkatan Pendidik dan Ekosistem

Impak

Meningkatkan kemahiran pensyarah dan penasihat kerjaya untuk menyelaraskan kurikulum, serta bimbingan dengan keperluan industri yang berkembang, sekali gus menambah baik kualiti dan kerelevanan pembangunan bakat merentas institusi.

“Salah satu hasil program yang paling bermakna ialah melihat peserta berkembang daripada tidak pasti tentang masa hadapan mereka kepada menjadi profesional yang berkeyakinan, malah ada yang kembali untuk membimbing peserta baharu. Ia mencerminkan kepentingan menyelaraskan pembangunan bakat dengan keperluan industri sebenar dan kebolehpasaran jangka panjang.”

Faridah Ismail
Rakan Program, Jentera & Peralatan (M&E) dan Digital & Teknologi (D&T)

Inisiatif

Program GIFT atau Global Initiative for Future Talent (Inisiatif Global untuk Bakat Masa Hadapan)

Impak

Merintis latihan dipertingkat dengan menggabungkan kecekapan digital, teknikal dan tingkah laku, yang menghasilkan peningkatan kebolehpasaran serta akses kepada penempatan pekerjaan yang lebih berkualiti.

“Program ini membantu saya merapatkan jurang antara universiti dengan tempat kerja. Saya memperoleh keyakinan, pendedahan praktikal dan hala tuju yang lebih jelas, yang akhirnya membawa kepada peranan dalam analitik data di PETRONAS.”

Albert Wong Zhu Wen
Sarjana Muda Sains Komputer (Kejuruteraan Perisian), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)

Sisipan 6: Memelihara Alam Semula Jadi di dalam Bandar

Taman Tugu ialah taman hutan hujan bandar berteraskan pemuliharaan di Kuala Lumpur yang diwujudkan dengan memulihkan tapak usang menjadi ruang hijau yang boleh diakses orang awam. Merangkumi kawasan seluas 66 ekar, taman ini memulihara kira-kira 1,000 pokok matang dan merangkumi lebih 5,000 spesies asli yang ditanam, sekali gus memperkukuh biodiversiti dalam bandar.

Sejak dibuka pada tahun 2018, Taman Tugu telah merekodkan lebih 1.7 juta kunjungan, menyediakan ruang untuk rekreasi, pembelajaran alam sekitar dan penglibatan komuniti. Program seperti lawatan berpandu, bengkel dan acara awam menggalakkan penyertaan aktif dalam pengawasan alam sekitar, manakala kerjasama dengan organisasi masyarakat sivil dan sukarelawan menyokong penyelenggaraan, serta jangkauan yang berterusan.

Dengan mengutamakan pemeliharaan berbanding dengan penggunaan komersial, Taman Tugu menunjukkan bagaimana tanah bandar boleh diurus untuk menghasilkan nilai alam sekitar dan sosial jangka panjang.

Sisipan 7: Mengembangkan Bakat Melalui Pendedahan Global

Program Residensi Khazanah (KRP) membangunkan profesional peringkat pertengahan kerjaya Malaysia dengan menempatkan mereka dalam program residensi di institusi global terkemuka dengan tumpuan kepada wartawan, pengamal komunikasi dan penggiat seni. Melalui program seperti Khazanah Nasional Wolfson Press Fellowship di University of Cambridge dan Khazanah Associate Artist Residency di London, peserta memperoleh pendedahan kepada amalan antarabangsa, peluang penyelidikan dan pertukaran silang budaya.

Sejak tahun 2013, 47 profesional telah menyertai program ini dengan hasil yang dicerminkan melalui peningkatan keupayaan profesional, karya kreatif baharu serta sumbangan kepada wacana awam dan amalan industri. Alumni terus terlibat melalui inisiatif jangkauan, pementoran dan perkongsian pengetahuan, sekali gus memperluas impak program melangkaui peserta individu.

Dengan memperkukuh perspektif, keupayaan dan rangkaian, KRP menyumbang kepada pembangunan bakat dalam sektor media dan kreatif Malaysia.

“Fellowship ini memberi saya ruang untuk menilai sejenak sebelum meneruskan tuntutan kerja harian bilik berita dan berfikir dengan lebih kritis tentang masa hadapan kewartawanan. Saya kembali dengan perspektif yang lebih luas, cara berfikir yang lebih berstruktur dan pemahaman yang lebih kukuh tentang bagaimana alat baharu, serta amalan global dapat memperkukuh kepercayaan awam dan pelaporan.”

Ameerul Eiman,
Felo KNWPF 2025

“Residensi ini memperdalam pemahaman saya tentang diri sendiri, serta industri. Melihat cara artis berpangkalan di London berkarya memperkukuh keyakinan saya untuk mengekalkan amalan bebas, dan membantu saya memikirkan tentang perkara yang boleh ditambah baik dalam dunia seni Malaysia.”

Lee Mok Yee
Felo KAAR 2025